Khamis, Januari 24, 2008

Tan Sri Megat Junid Dalam Kenangan

Mantan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Penguna, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub telah meninggal dunia akibat komplikasi kanser diPusat Rawatan Pakar Pantai 5.30pagi ini. Mantan Ketua Penerangan UMNO itu meninggalkan dua orang balu, Puan Sri Faeizah Shuaib dan Puan Ziela Jalil.
Beliau telah berada di Unit Rawatan Rapi Pantai semenjak hampir tiga bulan lalu.


Jenazah telah dibawa pulang ke rumah beliau di SS 7 Kelana Jaya, dimandi dan kafankan. Antara yang terawal menziarah ialah mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Siti Hasmah Mohd Ali. Tan Sri Megat merupakan Setiuasaha Politik kepada Tun Dr. Mahathir semasa beliau dilantik Timbalan Perdana Menteri pada 1976 dan mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Tun Hussein Onn pada 17 Julai 1981.
Tan Sri Megat merupakan Timbalan Menteri Perusahan Utama, 1984-86 dan kemudian kedudukan strategik Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN), 1986-97. Zaman beliau menerajui KDN merupakan zaman amat mencabar. Beliau antara yang bertanggung jawab membenarkan Polis melancarkan
‘Operasi Lalang’ pada 27 Oktober 1987 sebagai usaha untuk ‘mengawal keselamatan dalam negeri’, yang melihatkan 106 orang ditahan dibawah ISA.
Antara kejayaan Polis DiRaja Malaysia dalam tempoh beliau dalam KDN ini ialah perletakan senjata dan perjanjian damai ‘Perjanjian Hadyaii’ yang dicapai dengan Parti Komunis Malaya pada Januari 1989. Beliau menamatkan karrier politik dalam pentadbiran Kerajaan selama 17 tahun apabila kalah kerusi Parlimen Parit pada Pilihanraya Umum ke X November 1999 kepada calon PAS, apabila kerusi beliau Pasir Salak telah diambil oleh Pengerusi Perhubungan UMNO dan Perak ketika itu, Tan Sri Ramli Ngah Talib.

Antara bekas rakan rakan Kabinet yang datang menziarahi ialah Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak, TYT Melaka Tun Mohd. Khalil Yaakob, mantan Menteri Pelajaran Tan Sri Sulaiman Daud, Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar Dato’ Seri Aziz Shamsuddin, Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Mustapha Mohamad dan Menteri Besar Perak Dato’ Mohd. Tajol Rosli Ghazali. Turut kelihatan ialah Menteri Penerangan Dato’ Zainuddin “Zam” Maidin, Timb. Menteri Kesihatan Dato’ Dr. Abdul Latif Ahmad, mantan Timb. Menteri Luar Negara Dato’ Abdullah Fadzil Che Wan dan mantan Timb. Menteri Penerangan Dato’ Hj. Khalid Yunus.
Pegawai pegawai kanan Polis juga kelihatan, termasuk IGP Tan Sri Musa Hassan dan mantan IGP Tun Mohamed Hanif Omar. Pemimpin pemimpin parti politik komponen BN juga datang untuk memberikan penghormatan terakhir.


Barisan Exco Pemuda UMNO terdiri dari Naib Ketua Khairy Jamaluddin, Dato’ Mukhriz Mahathir, Dato’ Abdul Azeez Abdul Rahim, Dato’ Firdaus Ismail, Harison Hassan dan Wan Azizi Wan Mohamed meluangkan masa untuk memberikan penghormatan terakhir dan mengiringi jenazah untuk disembahyangkan di Masjid Kelana Jaya, yang berdekatan. Jenazah beliau kemudian disemadikan di Perkuburan Kiara, Damansara petang tadi.


Semoga Allah mencucuri rahmat keatas rohnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan