Rabu, Disember 09, 2009

Penggilran KM..Kenapa DAP Bantah??

Ketua Pemuda Keadilan Rakyat Pulau Pinang Mohd. Yusmadi Mohd. Yusuff telah berjaya mendedahkan pekung dasar Malaysian Malaysia yang didakwa adil kepada semua kaum apabila beliau mencadangkan penggiliran terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang yang sekarang disandang oleh seorang bukan anak tempatan tetapi diimport dari Melaka.Reaksi spontan dan pantas dari Pemuda Sosialis DAP yang menolak dengan tegas pendedahan itu telah memberikan gambaran yang sebenarnya apa yang tersirat dalam dasar itu yang selama ini dipromosikan sebagai dasar keadilan bagi semua kaum dan anti perkauman.
Yusmadi mahukan penggiliran itu dilakukan kepada tiga pihak yang menguasai negeri itu sekarang iaitu tidak terbatas kepada hanya orang Cina sahaja tetapi juga wakil lain lain dari parti Pakatan Rakyat iaitu Melayu dan India. Tahniah setinggi-tingginya kepada Mohd. Yusmadi yang percubaannya sangat bijak untuk membongkar perasaan yang terpendam dalam DAP selama ini. Setiausaha Pemuda Sosialis DAP (DPSY) Ng Wei Aik dalam reaksinya jelas menampakkan bahawa DAP mahukan hanya orang Cina menjadi Ketua Menteri dan beliau tidak lagi dapat menyembunyikan perasaan marah terhadap cadangan itu sehingga menyerang peribadi Yusmadi dengan menyifatkannya sebagai orang yang gilakan kuasa.
Wei Aik juga menganggap formula itu berbau perkauman. Selama ini DAP yang telah cuba memberikan gambaran seolah-olah BN dan khususnya UMNO menolak desakan supaya Timbalan Perdana Menteri dilantik daripada seorang bukan Melayu, tetapi ternyata DAP di peringkat negeri pun sudah tidak sanggup untuk memberikan peluang kepada kaum lain apatah lagi jika parti itu menguasai Malaysia.Jelas bahawa Malaysian Malaysia DAP hanyalah pada teori sahaja untuk meyakinkan kaum lain tetapi matlamat sebenarnya ialah Malaysian Chinese.
Inilah gambaran sekiranya DAP berkuasa di negara ini kelak yang seharusnya disedari oleh kaum India dan Melayu.Sesungguhnya cadangan yang dibuat oleh Pemuda PKR itu lebih adil daripada dasar BN yang selama ini hanya meletakkan Melayu sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang sekalipun sebenarnya UMNO dengan kedudukan kerusinya boleh menentukan sama ada Ketua Menteri dari parti Gerakan atau MCA. Namun UMNO berpegang kepada janji setiakawan dan tidak pernah menuntut untuk memegang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang ketika BN berkuasa dahulu. Malangnya kesetiaan UMNO ini telah dikhianati.
Mohd. Yusmadi sebagai anggota Parlimen PKR Balik Pulau melihat formula yang dikemukakannya adalah lebih baik daripada BN yang sekian lama memberi jawatan Ketua Menteri hanya kepada kaum Cina dari Gerakan sahaja malah bersikap tidak adil kepada MCA. Orang Melayu hanya layak dengan kedudukan sebagai Timbalan Ketua Menteri sahaja.Saya tidak faham kenapa wakil Ketua Menteri Pulau Pinang itu menganggap cadangan ini sebagai perkauman sebaliknya penolakannyalah menampakkan perkauman DAP dan prasangka buruk kepada orang Melayu sekiranya mereka menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang kelak.
Bimbangkan cadangan ini akan dianggap sebagai telah mendapat restu DAP, Wei Aik menafikan dengan keras sebagai sudah dipersetujui dengan Pas dan PKR. Beliau mendakwa sekalipun seorang Cina menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang sekarang ini tetapi layanan adil diberikan kepada semua kaum dan agama.Malah Pengerusi DAP Karpal Singh yang turut terkejut dan gementar dengan cadangan itu telah meminta supaya Penasihat Parti Keadilan Rakyat Anwar Ibrahim menutup mulut ahli partinya di akar umbi. Sama ada kerajaan negeri adil atau tidak kepada semua kaum hanya dapat dirasakan dan dijawab oleh rakyat Pulau Pinang sendiri yang baru sahaja melalui krisis Pasar Chowrasta mengenai tempat perniagaan di bulan Ramadan dan tempat tinggal mereka baru-baru ini.
Saya tidak nampak cadangan Ketua Pemuda PKR itu sukar untuk dilaksanakan di Pulau Pinang kerana BN pun pernah melakukan penggiliran jawatan Ketua Menteri di Sabah untuk memenuhi kehendak semua pihak dan saya percaya jika cadangan itu diterima maka pastinya Pakatan Rakyat akan dapat memperkukuhkan lagi kedudukannya di Pulau Pinang.

Tiada ulasan:

Catat Komen