Jumaat, Januari 30, 2009

Najib Pengerusi UMNO Perak, Zahid Dilantik Timbalan

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO memaklumkan bahawa Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Perak bagi menggantikan Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Mohd Ghazali yang telah meletak jawatan. “Tempat Datuk Seri Tajol Rosli akan diganti oleh Datuk Sri Mohd Najib tetapi hanya setakat sampai Mac ini (sehingga selesai Perhimpunan Agung UMNO(PAU)). “Selepas itu akan dilantik ketua yang baru,” ujar Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Manakala bagi jawatan Timbalan Pengerusi pula, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan memegang jawatan tersebut, juga hanya setakat PAU dan selepas itu akan dibuat lantikan baru yang mana individunya belum dipastikan lagi, tambah beliau.
Katanya lagi, mesyuarat turut mendengar laporan daripada Datuk Seri Tajol Rosli mengenai situasi yang berlaku di negeri Perak khususnya mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang menyeberang parti pembangkang. Jelasnya lagi, bekas Menteri Besar Perak itu telah mengambil keputusan meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak dan juga Pengerusi BN Negeri Perak kuatkuasa serta merta. “Dato Seri Tajol Rosli telah berpendapat bahawa ada pemimpin yang lebih layak dan lebih baik dari beliau untuk memimpin UMNO dan BN di Perak. “Kita hormati kehendak yang telah beliau buat,” ujarnya lagi. Dalam pada itu, beliau yang juga Perdana Menteri berkata, mesyuarat turut membincangkan mengenai pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu dan laporan ‘post-mortem’ mengenainya akan diperhalusi oleh Jawatankuasa Pengurusan. “MT juga mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri-negeri yang turun membantu berkempen,” ujar beliau. Beliau berkata demikian ketika sidang media sebaik sahaja selesai mempengerusikan mesyuarat tersebut yang berlangsung kira-kira selama tiga jam setengah, hari ini (29 Januari 2009).
Dalam masa yang sama, beliau memaklumkan bahawa MT akan mempercepatkan tindakan bagi melaksanakan hasil daripada ‘retreat’ yang telah diadakan dan banyak perkara telah diperbincangkan. “Perkara-perkara yang telah diputuskan, harus dimulakan pelaksanaannya agar langkah-langkah yang telah diambil apabila tiba masa peralihan kuasa, semuanya akan berjalan dengan lancar. “Antaranya perkara yang berkaitan dengan proses pemilihan, berkaitan kuota dan cara pengundian yang mana semua perlu diperhalusi,” tambah beliau. Beliau turut memaklumkan masing-masing berperanan mengingati ahli-ahli bahawa amalan politik wang adalah satu perkara yang tidak baik dan perlu dielakkan. Sehubungan itu, ujarnya lagi, peranan Lembaga Disiplin (LD) yang ada sekarang perlu diperbesarkan serta ditambah keanggotaannya supaya kes-kes yang dilaporkan dapat diberi perhatian dan dipertimbangkan. “Ini supaya keputusan yang tepat dapat dibuat dengan secepat mungkin,” ujar beliau. Ketika ditanya, beliau turut menjawab bahawa kes-kes yang berkaitan dengan UMNO adalah di bawah Lembaga Disiplin.
Mesyuarat tersebut yang pertama berlangsung untuk tahun 2009 diadakan di Menara Dato’ Onn, di sini. Sebelum mempengerusikan mesyuarat tersebut, beliau telah merasmikan pelancaran sistem pendaftaran keahlian UMNO secara ‘online’. Dengan kaedah secara ‘online’ ini, orang ramai yang berhasrat menjadi ahli UMNO akan lebih mudah berurusan dan pendaftaran keahliannya akan disahkan oleh Ibu Pejabat parti serta dirujuk kepada Negeri, Bahagian dan Cawangan yang berkenaan.
Walaupun begitu, kaedah sedia ada masih lagi digunapakai. Dengan wujudnya sistem ini, UMNO percaya kaedah ini juga dilihat mampu menarik lebih ramai penyertaan ahli-ahli baru menganggotai parti yang kini mempunyai keahlian lebih 3 juta orang. Laman web pendaftaran keahlian tersebut boleh dilawati di alamat www.daftar.umno.org.my
*Sumber dari www.umno-online.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan