Jumaat, Februari 06, 2009

Zamry, MB Baru Perak.

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa di Perak semalam dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, dipilih sebagai Menteri Besar ke-11. Ini berikutan keputusan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menitahkan supaya Menteri Besar dari Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin serta barisan Exconya meletakkan jawatan, berkuat kuasa serta-merta.




Pemilihan Zambry, 47, sebagai Menteri Besar Perak diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sidang akhbar di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang, sejurus tiba dari Ipoh, malam tadi. Abdullah yang sebelum itu menghadap Sultan Perak di Istana Kinta, Ipoh, berkata Sultan Azlan Shah sudah memperkenankan pemilihan Zambry sebagai Menteri Besar. Upacara mengangkat sumpah Menteri Besar baru dijadualkan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 3.30 petang ini, diikuti barisan Exco pada jam 10 pagi, Selasa ini. Di IPOH, Pejabat Sultan Perak dalam satu kenyataan menjelaskan, setelah menemui semua 28 Adun BN dan tiga Adun Bebas, baginda yakin Mohammad Nizar sudah terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar anggota DUN.



"Sekiranya YAB Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan), maka jawatan Menteri Besar serta ahli MMK itu dianggap telah dikosongkan," kata kenyataan yang ditandatangani Setiausaha Sulit Sultan Azlan Shah, Kol Datuk Abdul Rahim Mohamad Nor. Sultan Perak membuat keputusan itu selaras dengan peruntukan XVI (6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak. Kenyataan empat muka surat yang dikeluarkan kepada Bernama pada jam 2.15 petang itu juga menjelaskan, Mohammad Nizar menghadap Sultan Perak kelmarin dan memohon perkenan baginda untuk membubarkan DUN Perak. Pagi semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi BN Perak, turut memohon menghadap baginda dan diberi perkenan berbuat demikian.



Pada majlis menghadap itu, Najib memaklumkan kepada baginda bahawa BN dan penyokongnya kini terdiri daripada 31 Adun dan menguasai majoriti ahli DUN. Menurut kenyataan itu, untuk meyakinkan baginda bahawa maklumat yang dipersembahkan itu tepat, Sultan Azlan Shah menitahkan semua 31 Adun berkenaan menghadap baginda. "Setelah menemui sendiri semua 31 Adun itu, DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah yakin bahawa YAB Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin telah terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar dari kalangan ahli Dewan Negeri," kata kenyataan itu. Ia juga menyebut bahawa Sultan Perak telah menimbang dengan sedalam-dalamnya permohonan Mohammad Nizar untuk mendapatkan perkenan baginda membubarkan DUN Perak. "Baginda menggunakan budi bicara di bawah Perkara XVIII (2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan tidak berkenan membubarkan Dewan Negeri Perak," kata kenyataan itu. Keputusan itu dimaklumkan kepada Mohammad Nizar ketika dititah menghadap Sultan Perak, semalam.


Info Datuk Dr Zambry Abdul Kadir

TARIKH LAHIR: 22 Mac 1962

TEMPAT LAHIR: Pulau Pangkor, Perak ISTERI: Datin Saripah Zulkifli

ANAK: Lima (Tiga perempuan, dua lelaki)

KELULUSAN AKADEMIK:
PhD (Pemikiran Politik) Universiti Temple, Amerika Syarikat (1995)
MA, Universiti Temple (1992) Falsafah politik dan Perbandingan Agama
MA, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) (1991) Pemikiran Islam
B Econs (Kepujian) UIAM (1987)


PENCAPAIAN:
Anugerah Kepujian (PhD) 1995
Geran Penyelidikan Universiti Temple (1993)
Anugerah WAMY Konvokesyen Pertama UIAM (1987)


JAWATAN:
Ketua Pemuda Umno Bahagian Lumut (1992)
Ketua Umno Bahagian Lumut
Adun Pangkor (sejak 2004)
Exco Pelajaran, Sumber Manusia dan Teknologi Maklumat Perak (2004-2008)
Sumber Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan