Jumaat, November 21, 2008

Bajet Pakatan Pembangkang Negeri Perak Tidak Menjana Pertumbuhan Ekonomi Negeri


IPOH - Bajet negeri kebajikan yang dibentangkan oleh kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat sebenarnya adalah pendekatan populis yang tidak akan menjana pertumbuhan ekonomi Perak.


Pengerusi Barisan Nasional Perak Datuk Seri Mohamad Tajol Rosli Ghazali berkata kerajaan Pakatan Rakyat tenggelam dalam usaha mewujudkan sebuah negeri kebajikan dalam Bajet 2009 sehingga pendekatan yang diambil akan menyebabkan ekonomi negeri menguncup. Jelasnya penguncupan ekonomi akan berlaku disebabkan langkah kerajaan Pakatan Rakyat mengurangkan perbelanjaan pembangunan lebih daripada RM5 juta dan pada masa sama mengurangkan defisit kepada RM25 juta. Katanya perbelanjaan pembangunan bagi 2008 semasa BN memerintah adalah RM180 juta manakala jumlah peruntukkan Pakatan Rakyat bagi tujuan sama untuk tahun depan adalah RM175 juta.


Berucap ketika membahaskan Bajet 2009 pada hari kedua persidangan Dewan Undangan Negeri pada 11 Nov, Tajol Rosli berkata RM175 juta perbelanjaan pembangunan adalah sesuatu yang teruk berikutan kadar inflasi yang tinggi pada masa ini. Sambil menyifatkan bajet itu sebagai daif, “counter-productive”, hambar dan “non-developmental”, beliau menegaskan bajet itu gagal mencerminkan pendekatan pertumbuhan mampan atau “sustainable accelerated economic growth”. “Di masa kita semua berhadapan dengan kelembapan ekonomi dunia, wajar bagi kerajaan negeri mengambil langkah menggalakkan perbelanjaan bagi menjana ekonomi. “Kita tidak nampak bagaimana dasar-dasar kebajikan yang lebih kulit daripada isi ini akan membawa negeri Perak kearah kemakmuran ekonomi. Ianya lansung tidak memberangsangkan. “Dasar populis baik…tetapi selain buat kebajikan, pertumbuhan ekonomi perlu dijana. “Pada masa sama kita juga tertanya-tanya apakah huluran-huluran ehsan (seperti pemansuhan saman, 20m padu air percuma, sumbangan gula, beras, minyak masak, geran kekal) akan berterusan atau sekadar imbuhan serta hadiah diatas kemenangan pilihan raya,” katanya.


Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin telah membentangkan satu bajet defisit sebanyak RM25 juta dengan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM175 dengan penumpuan diberi kepada program-program kebajikan. Tajol Rosli juga menyifatkan bajet 2009 yang dibentangkan adalah satu kerja “cut and paste” kerajaan Pakatan Rakyat dengan mengumpul laporan bajet-bajet tahun-tahun sebelumnya lalu mencantum dan menyambungnya. Ini kerana segala projek-projek pembangunan yang dibentangkan oleh Pakatan Rakyat adalah projek yang dirancang oleh kerajaan terdahulu dengan sesetengahnya sedang dalam perlaksanaan dan sebahagian lagi akan dilaksanakan, katanya.


Beliau berkata tindakan Pakatan Rakyat bermegah-megah dengan menyenaraikan projek seperti Perak Hi-Tech Park, pelaburan Spacetoon, MSC@Meru Raya adalah umpama “lembu punya susu, sapi dapat nama” Tajol Rosli juga menyoal tindakan kerajaan negeri mengambil keuntungan daripada GLCs seperti Lembaga Air Perak (LAP), Perbadanan Kemajuan Pertanian (SADC) dan Perbadanan Kemajuan Negeri sebanyak RM50 juta kesemuanya sebagai jalan keluar meningkatkan pendapatan kerajaan. Jelasnya tindakan ini akan membawa kepada kemusnahan kepada syarikat-syarikat kerajaan terutamanya LAP yang dijangka akan memperolehi lebih RM100 juta keuntungan bagi tahun 2009. “Tidak sepatutnya dana tersebut diusik kerana ia akan menjejaskan kestabilan kewangan syarikat, dan jika ini berterusan ia akan menyebabkan dana menguncup dan mengekang syarikat daripada berkembang,” katanya.



Dengan merujuk kepada prestasi kewangan LAP, Tajol Rosli berkata agensi terbabit hanya mencatat keuntungan sebanyak RM5 juta semasa beliau mengambil alih sebagai pengerusi LAP pada tahun 1999. Beliau berkata dengan perancangan dan pengurusan yang baik, keuntungan LAP kini naik mendadak selama lapan tahun beliau menerajui agensi tersebut. “Prestasi kewangan LAP meningkat berkali-kali ganda kerana kerajaan negeri langsung tidah sentuh dana agensi terbabit dan ini membolehkan ianya terus berkembang,” katanya. Tajol Rosli berkata selama menjadi pengerusi LAP hanya sekali beliau membuat keputusan mengambil keuntungan daripada agensi itu pada akhir tahun 2007 bagi menampung peningkatan perbelanjaan mengurus kerajaan negeri berjumlah RM70 juta bagi tujuan membayar kenaikan gaji kakitangan awam.


Dalam ucapannya, beliau juga mempersoalkan kegagalan kerajaan Pakatan Rakyat memberi keutamaan kepada sektor yang dapat menjana pertumbuhan ekonomi. Katanya peruntukan tambahan mesti disalurkan kepada jabatan-jabatan penting seperti pertanian, perikanan, haiwan, pengairan dan saliran, dan Jabatan Kerja Raya bagi membolehkan jabatan ini bergerak. “Negeri memerlukan aktiviti-aktiviti pertanian, perikanan dan penternakan yang lebih banyak bagi mewujudkan peluang-peluang ekonomi. “Selain daripada itu, kita juga memerlukan kerajaan negeri memberi tumpuan lebih kepada projek-projek infrastruktur bagi menyediakan kemudahan jalinan infrastruktur yang hebat untuk menarik pelabur,” katanya.


Dipetik daripada www.perakbn.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan