PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri selama empat hari bagi meluluskan Bajet 2009 yang berakhir pada 11 Nov lalu sememangnya menarik untuk diperkatakan dari banyak segi dan sudut.
Seperti juga Parlimen, sidang Dewan Negeri Perak tidak lari daripada menyaksikan berlakunya keadaan tegang akibat pertikaman lidah antara wakil-wakil Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat yang kini menerajui kerajaan Perak.
Ini adalah sidang Dewan kali kedua bagi Pakatan Rakyat setelah mengambil alih pentabdiran kerajaan negeri Perak sejak Mac lalu.
Pemerhati yang hadir (bergantung kepada fahaman politik masing-masing) mengikuti persidangan adakalanya terhibur dengan gelagat-gelagat ahli Dewan daripada kedua-dua belah dalam insiden “kena-mengena” antara satu sama lain.
Banyak insiden lucu yang berlaku tetapi yang paling menggelikan hati adalah apabila exco Pembangunan Industri dan Penerangan Tai Sing Ng (PKR-Kuala Sepetang) menampakkan kebodohan beliau secara terang-terangan dengan mengaku tidak tahu akan perkataan MIDA (Malaysia Industrial Development Authority) yang berada di bawah portfolio beliau sendiri.
Apapun, yang penting persidangan Dewan kali ini berjaya membuka mata banyak pihak akan kepincangan pentadbiran kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat yang sering mengkritik BN.
Ini berikutan banyak persoalan yang dibangkitkan oleh BN mengenai hal-hal rakyat tidak dijawab oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan sepuluh exconya yang handal.
Jika ada pun, penjelasan Nizar sering tidak memuaskan hati.
Antara isu yang gagal dijawab adalah soalan yang dibangkitkan oleh Tajol Rosli dan Datuk Hasbullah Osman (BN-Temenggor) samada Nizar mahu menafikan jasa kerajaan BN apabila Nizar sendiri telah mendapat banyak manafaat seperti biasiswa melanjutkan pelajaran ke luar negara dan kontrak-kontrak kerja menyelenggara bangunan kerajaan sebelum beliau menjadi Menteri Besar.
Nizar juga tidak menjawab tuduhan Datuk Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan) bahawa kerajaan Pakatan Rakyat sebenarnya tidak adil dan tidak ikhlas apabila ia memberi 1,000ha tanah untuk diagih-agihkan kepada 689 Sekolah Agama Rakyat berbanding 1,000ha tanah kepada 9 buah sekolah persendirian Cina (SUWA) di Perak.
“Jika dibahagikan,setiap sekolah SAR ibarat mendapat RM1.45 sen manakala sekolah Cina pula RM111. Apakah ini keadilan,” beliau menyoal.
Saarani juga bertanya bilakah Nizar mahu mengotakan janji untuk mengisytihar harta kesemua ADUN dan exco Pakatan Rakyat termasuk dirinya seperti yang diumumkan semasa mesyuarat dewan pada bulan Mei lalu.
“Sila beritahu bila. Esok…lusa…atau sepuluh tahun lagi,” cabar Saarani.
Dakwaan pemberian kelulusan balak kepada 30 ahli DAP juga tidak dijawab Nizar dengan memuaskan hati seperti mengemukakan bukti ianya tidak berlaku.
Hasbullah telah membuat dakwaan tesebut bagi menunjukkan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat adalah ibarat “paku dulang, paku serpih” kerana telah mengagihkan kekayaan negeri kepada kroni-kroni apabila berkuasa.
Paling menghampakan adalah jawapan Nizar terhadap isu pemberian cuti berbayar exco RM20,000 yang diberikan setahun sekali berbanding era pemerintahan BN hanya sekali sepenggal.
Nizar berkata pemberian elaun setahun sekali dilaksanakan kerajaan Pakatan Rakyat kerajaan terdapat peruntukan yang membolehkan exco mendapat cuti berbayar setahun sekali.
Nizar bagaimanapun tidak menjawab soalan Datuk Dr Zambry Abd Kadir (BN-Pangkor) yang mempersoalkan mengapa kerajaan negeri tidak mengkaji pelaksanaan tersebut memandangkan kegawatan ekonomi pada masa ini dan jika ianya adalah satu pembaziran wang rakyat.
Sepanjang persidangan Dewan juga, sikap berat sebelah Speaker V.Sivakumar juga semakin ketara dalam mengendalikan mesyuarat.
Walaupun beliau dikehendaki bersikap “neutral” tetapi amat jelas Sivakumar banyak memenangkan pihak Pakatan Rakyat yang diwakilinya.
Sivakumar juga sering bersikap emosional apabila beliau sendiri adakalanya mengambil bahagian bertegang lidah dengan wakil BN sehingga Zambry terpaksa mengingatkan sebagai Speaker adalah tidak wajar beliau menjerit dan meninggikan suara untuk mengawal keadaan.
Benarlah seperti kata mantan Menteri Besari:- “Mentadbir kerajaan bukanlah semudah berhujah dan berceramah di tepi-tepi jalan,”
Dengan nada sinis, Tajol Rosli mengingatkan kerajaan Pakatan Rakyat - “bikin tak sesenang cakap, cakap tak serupa bikin”
Dipetik dari http://www.perakbn.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan