Isnin, Mac 16, 2009

Gelombang PEMUDA Perak!!

Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussin dikerumi PEMUDA UMNO Perak ketia selesai majlis penutup semalam.


Janda Baik, Ahad- 15 Mac 2009. Pergerakan PEMUDA UMNO Negeri Perak dengan kerjasama Biro Tata Negara (BTN) telah mengadakan Kursus Bina Negara Asas Jentera Pilihanraya PEMUDA UMNO Perak bertempat di Institut Latihan Memperkasakan UMNO (ILMU), Janda Baik kelmarin. Kursus selama 3 hari 2 malam itu telah disertai oleh kesemua 23 Bahagian PEMUDA UMNO Perak (kecuali PEMUDA UMNO Bukit Gantang yang telah berkursus di Kem Bina Negara Ulu Kenas minggu lalu). Setiap Bahagian Pergerakan PEMUDA UMNO menghantar seramai 20 orang peserta dan menjadikan jumlah keseluruhan peserta seramai 450 orang.


Laungan "Gelombang PEMUDA Perak" bergema didalam dewan

Kelihatan YB Zainol Fadzi, Ketua Pergerakan PEMUDA UMNO Perak bersalaman dengan para peserta kursus yang begitu bersemangat.

Dalam kursus ini, PEMUDA UMNO didedahkan dengan keadaan pilihanraya sebenar dan bagaimana mereka dapat menghadapi sebarang situasi mahupun provokasi pihak pembangkang. Pada kursus ini juga para peserta didedahkan dengan kerja-kerja gempur dan risik sebagai persediaan di Pilihanraya Kecil P059 Bukit Gantang. Dalam kursus ini para peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan yang mewakili 3 parti politik seperti BN, PAS & Bebas. Mereka turut mengadakan pilihanraya simulasi (olok-olok) bagi memberikan gambaran sebenar dan keadaan pada hari penamaan calon, tempoh berkempen dan hari mengundi.


Bendera parti politik disekitar kawasan Institut Latihan Memperkasa UMNO (ILMU)

Majlis Perasmian Penutup kursus ini telah disempurnakan oleh Ketua Pergerakan PEMUDA UMNO Malaysia Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussin dan turut dihadiri oleh Ketua Pergerakan PEMUDA UMNO Perak YB Zainol Fadzi Paharuddin.



Semoga Parlimen Bukit Gantang akan kembali ke tangan Barisan Nasional. Dan tidak terlambat untuk mengucapkan tahniah dan selamat berkempen kepada calon BN Bukit Gantang En. Ismail Sapian dan selamat berjuang kepada jentera pilihanraya BN Bukit Gantang. Jumpa disana.

Jumaat, Mac 13, 2009

Camry Oh Camry!!







Hanya beberapa bulan sahaja EXCO Pakatan Rakyat dapat menggunakan kereta Camry ini. Tentunya belum puas melenjan. Tetapi apa kan daya..semuanya ketentuan Allah. Kerana itulah dalam Rukun Iman Yang Keenam kita wajib mempercayai Qada' & Qadar Allah. Setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Allah Maha Mengetahui dan Maha Merancang. "Apabila Kamu Bersyukur Keatas Nikmat Ku, Maka Akan Ku Tambahkan Lagi Nikmat Kepada mu"..

Kekalahan UMNO/BN pada PRU yg lalu juga harus diterima. Dan tumbangnya Kerajaan PR (baca sebagai Kerajaan DAP) Februari yang lalu juga harus diterima.

Gambar diatas penulis ambil ketika menghadiri mesyuarat di SUK Perak semalam.
Bukan rezeki EXCO PR untuk menggunakan kereta ini bagi satu jangka masa yang lama.

Penghina Sultan Akan Didakwa!!!

PUTRAJAYA: Sekurang-kurangnya enam orang akan dihadapkan ke mahkamah hari ini berhubung kes menghantar komen yang menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dalam laman web baginda ketika kemuncak kemelut politik di negeri itu, baru-baru ini. Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, ketika dihubungi malam tadi mengesahkan perkara itu. Beliau berkata, mereka yang akan didakwa itu bukan blogger, sebaliknya orang awam yang antara lain menggunakan perkataan keji dan menghina Sultan Perak dalam komen yang dihantar menerusi laman web baginda.


Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai fakta pertuduhan. Selain enam terbabit, dua lagi mungkin didakwa Ahad ini di Kuala Terengganu. Difahamkan, buat kali pertama mereka akan didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 yang boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.



Mengikut seksyen itu, menjadi kesalahan bagi mereka yang menyalahgunakan internet dengan membuat, meminta atau memulakan penghantaran komen, permintaan, cadangan atau komunikasi yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain. Kes berkenaan disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman sejak sebulan lalu selepas menerima aduan daripada pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).



Difahamkan, enam terbabit akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Kota Kinabalu dan Butterworth. Laman web Sultan Perak menjadi sasaran puluhan komentar, termasuk yang menggunakan perkataan kasar apabila baginda tidak memperkenankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan, sebaliknya bersetuju melantik Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, menjadi Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin selepas Pakatan Rakyat negeri itu hilang majoriti dalam DUN.
Dipetik dari Berita Harian.

Bukan Kerana Wang!!!

CHANGKAT JERING: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jering, Kapten (B) Mohd Osman Jailu yang keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menyokong Barisan Nasional (BN) bulan lalu, mendedahkan pemerintahan 11 bulan Pakatan Rakyat di Perak dimonopoli dan dimanipulasi sepenuhnya oleh DAP dan Pas. Beliau juga menafikan ganjaran kemewahan menjadi punca beralih menyokong BN, sebaliknya berbuat demikian kerana kecewa dengan beberapa tindakan kerajaan Pakatan Rakyat. Bekas ahli Exco kerajaan Perak itu, berkata tuduhan bahawa beliau mendapat pelbagai ganjaran kerana menyokong BN tidak benar kerana ketika itu BN dikatakan di ambang kematian, manakala Pakatan Rakyat didakwa berada di kemuncak.


"Inilah bukti saya menyokong BN dan menjadi Adun Bebas bukan kerana jawatan mahupun wang ringgit. Semuanya kerana saya sayangkan agama, bangsa dan sayang kepada rakyat Perak," katanya dalam ceramah dan makan tengah hari anjuran Pertubuhan Dakwah dan Islamiah Malaysia (Pekida) di Air Kuning, di sini, semalam. Hadir sama Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan kira-kira 1,000 penduduk tempatan. Majlis terbuka itu adalah kali pertama dihadiri Osman sejak mengisytihar diri sebagai Adun Bebas awal bulan lalu.


Osman berkata, pemerintahan Pakatan Rakyat selama 11 bulan di Perak yang dimonopoli dan dimanipulasi sepenuhnya oleh DAP dan Pas mendorong beliau dan seorang lagi Exco dari PKR, Jamaludin Mohd Radzi menjadi Adun Bebas. Katanya, beliau dan Jamaluddin yang juga Adun Behrang, amat kecewa kerana pandangan mereka tidak pernah tidak diambil kira dalam mesyuarat Exco. Beliau berkata, banyak keputusan dibuat berdasarkan kehendak DAP terutama menerusi dua Exconya, iaitu bekas Exco Kanan yang juga Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan bekas Ketua Pemuda DAP, Nga Kor Ming. Osman berkata, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin juga gagal memberi pertimbangan adil sehingga banyak tindakan kerajaan lebih memihak kepada DAP.


"Banyak keputusan dipengaruhi Ngeh dan Nga. Jamaluddin dan saya sentiasa berusaha keras untuk memperbetul keadaan sehingga kadang-kala dalam Mesyuarat Exco, timbul ketegangan. "Malangnya, Menteri Besar ketika itu tidak mengambil sikap menjadi pemimpin, sebaliknya keputusan yang dibuat memihak kepada DAP," katanya. Osman berkata, beliau dan Jamaludin tidak dapat melaksanakan amanah dengan baik sebagai Exco kerana pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat mempunyai kepincangan yang amat jelas. “Kehadiran kami sebagai Exco seolah-olah hanya untuk memenuhi syarat memerintah Perak. Banyak keputusan dibuat terbukti berat sebelah. Selama 11 bulan bersama mereka, kerajaan diperintah DAP dan Pas saja," katanya.

Dipetik dari Berita Harian

Selasa, Mac 10, 2009

Mengapa Mereka Mahu Bubarkan DUN??

Setelah kejatuhan Kerajaan PR pada Februari lepas, mereka sehingga kini mendesak untuk memohon perkenan Tuanku bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak. “Kembalikan kuasa rakyat “ itulah antara slogan dan kata – kata yang terpampang dikebanyakan sepanduk² di merata ceruk negeri Perak.

Seperti yang kita sedia maklum, Menteri Besar Perak mestilah orang Melayu dan Islam. Itu perkara pokok dan mendapat kepercayaan majoriti di Dewan Undangan Negeri.

Jika dilihat, sekiranya diadakan Pilihanraya DUN Perak, DAP akan dan semestinya akan mempertaruhkan calon Melayu dikawasan atau kubu mereka. Kerana apa?? Kerana mereka mahukan Menteri Besar dari DAP sekiranya PR memenangi pilihanraya tersebut. Mudah bukan?? Sedangkan Nizar dari PAS boleh dicucuk hidungnya apatah lagi jika calon MB dari DAP sendiri. Maka, Perak akan menjadi seperti Pulau Pinang. Itu pemahaman yang paling mudah.

Tetapi di pihak PAS mahupun Keadilan mereka sanggup untuk tidur sebantal asalkan cita – cita atau matlamat politik mereka tercapai. Yang penting BN/UMNO perlu di tumbangkan dengan pukulan “Knock Out”.

Pakatan Rakyat merasa yakin dan optimis yang mereka akan menang sekiranya diadakan pilihan raya DUN Perak. DAP yang paling yakin kerana sokongan/undi dari kaum Cina dan India memihak kepada mereka ketika ini setelah berbagai gula – gula diberikan. Tanah, biasiswa, compartment balak, kontrak² dan sebagainya. Diberitakan, seorang Ustad dari Manjung (kalau tidak silap) bersedia untuk menjadi calon DAP jika diadakan Pilihanraya DUN Perak. Dan secara mudahnya, jika DAP kekal dengan kemenangan di kerusi seperti sekarang begitu juga dengan PAS dan PKR maka tentunya merekalah yang berhak untuk kerusi Menteri Besar. Itupun jika diperkenankan oleh Tuanku Sultan Perak.

Tetapi, bagi penyokong PAS dan PKR mereka menganggap perkara ini bukanlah perkara pokok atau asas dalam perjuangan mereka. Asalkan BN/UMNO ditumbangkan itu sudah cukup untuk memuaskan hati. “PAS For All”, slogan parti ini yang kononnya menunjukkan mereka terbuka kepada bangsa lain. Dan bukanlah satu perkara yang pelik Nik Aziz menyatakan perkataaan Allah bukan hak orang Islam semata. Jadi bersesuaianlah dengan slogan PAS For All. Yang penting, matlamat politik mereka tercapai.

Yang jelas dan terang, Nizar semakin sumbang langkahnya. Sivakumar pula semakin merapu. Sana saman, sini saman, sana naik mahkamah sini naik mahkamah. Tiada kesudahannya. Rakyat Perak yang menjadi mangsa.

Sebenarnya, dipihak PR mereka sengaja menjadi isu-isu ini sebagai modal untuk meraih simpati rakyat. Suara Rakyat…. Kuasa Rakyat ….itulah yang di gembar gemburkan.

Betapa bijaknya politik DAP dan betapa bodohnya PAS dan PKR menjadi tunggangan mereka. Biar orang PAS yang berbaring diatas jalan, biar orang PKR yang ditembak gas pemedih mata. Orang Cina DAP hanya duduk selesa dibilik air cond dan menantikan maklumat sahaja.

PAS berjaya meracuni pemikiran penyokong mereka dan menjadikan penyokong mereka fanatic dan taksub. Golongan akar umbi PAS menjadi mangsa kerakusan politik pemimpin atasan mereka yang dicucuk hidung oleh DAP.

Sekian untuk coretan kali ini.

PR Mahu Jadikan Perak Republik!!

IPOH: Tindak-tanduk Pakatan Rakyat (PR) di sini sejak awal bulan lalu yang membawa kepada krisis perlembagaan berpanjangan bertujuan menidakkan institusi beraja di Perak dan menjadikan negeri ini sebuah republik. Malah, Menteri Besar, Datuk Dr Mohd Zambry Abdul Kadir, berkata tindakan penyokong Pakatan Rakyat menyamakan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tergempar minggu lalu dengan perhimpunan golongan bangsawan di gelanggang tenis Paris pada 1789 hingga mencetuskan Revolusi Perancis yang menjatuhkan Raja Louis XVI dan menamatkan sistem beraja di negara itu, amat berbahaya. Katanya, pemimpin pembangkang cuba meracuni pemikiran rakyat dengan mengatakan sidang DUN haram di bawah pokok itu sebagai lokasi bersejarah dalam sistem demokrasi, tetapi hakikatnya ia simbol penderhakaan kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Zambry menyifatkan pokok itu pokok ‘patik mohon sembah derhaka’, memetik kata-kata bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ketika enggan mematuhi titah Sultan Azlan pada 5 Februari lalu supaya meletak jawatan. "Mereka mengatakan itu pokok demokrasi tetapi pada saya ia tanda penderhakaan kepada institusi beraja kerana kita tahu mereka tidak mendapat perkenan (untuk mengadakan sidang DUN). “Malah, mahkamah sendiri memutuskan kedudukan mereka (tidak sah). Tindakan mereka secara simboliknya menunjukkan penderhakaan kepada Tuanku Sultan dan institusi beraja di Perak.
"Itulah kemuncak pada perlakuan mereka. Saya ingin rakyat melihat kelakuan mereka ini yang sebenarnya langsung tidak menghormati proses demokrasi," katanya kepada pemberita selepas sambutan Maulidur Rasul di sini, semalam. Majlis itu disempurnakan oleh Sultan Azlan Shah. Dr Zambry berkata, tindakan penyokong pembangkang menyamakan 'Sidang DUN' haram di bawah pokok dengan perhimpunan di gelanggang tenis Paris pada abad ke-18 amat berbahaya kepada keharmonian kaum di negara ini.

Katanya, ia adalah gerakan halus untuk menafikan institusi beraja di negeri ini yang sudah berakar umbi sejak beratus-ratus tahun lamanya dan sebati dengan jiwa orang Melayu. Sementara itu, di KUALA LUMPUR dalam kenyataan yang difaks kepada Bernama kelmarin, Zambry berkata, Mohammad Nizar tiada hak untuk memohon perkenan Sultan Azlan Shah bagi membubarkan DUN Perak, Beliau berkata, Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak memperuntukkan hanya Menteri Besar yang mempunyai hak menghadap Sultan Perak memohon perkenan baginda membubarkan DUN.
Dipetik dari Berita Harian.

Rabu, Mac 04, 2009

Kerajaan Pasir Dua Butir!!!




Sidang DUN Perak dibawah pokok berhadapan dgn SUK Perak
IPOH: Sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak oleh 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakatan Rakyat di bawah pokok di luar Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam, dianggap tidak sah berikutan perintah Mahkamah Tinggi menghalang Speaker, V Sivakumar, mengadakan sebarang sidang DUN tanpa perkenan Sultan Perak. Perintah itu dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim, beberapa jam selepas Sivakumar meneruskan sidang tergempar yang mencetuskan kontroversi kerana diadakan tanpa menunggu keputusan mahkamah berhubung saman Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin terhadap pelantikan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar.



Ketua Panel Peguam Barisan Nasional (BN), Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, berkata Ridwan membuat keputusan itu tanpa memberi tempoh masa dan itu bermakna sidang tergempar DUN yang diadakan sebelum perintah berkenaan dikeluarkan, juga tidak sah. Bercakap kepada pemberita di sini petang semalam, Firoz Hussein berkata, Ridwan mengeluarkan perintah itu mengikut Seksyen 44 Akta Relif Spesifik selepas mendengar permohonan injunksi Zambry dan enam Exconya bagi menghentikan apa-apa sidang DUN yang tidak berlandaskan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Permohonan injunksi itu dibuat sebagai permohonan sampingan selepas Zambry dan enam Adun berkenaan memfailkan saman pemula kelmarin, meminta mahkamah mengisytiharkan keputusan Sivakumar menggantung mereka daripada menghadiri sidang DUN sebagai tidak sah.


Kelihatan penyokong Pakatan Rakyat yang hadir untuk melihat "Sidang DUN Perak" semalam



Mahkamah bagaimanapun belum memutuskan tarikh bagi mendengar saman pemula deklarasi berkenaan. Firoz Hussein berkata, keputusan Ridwan mengeluarkan perintah itu dapat mengembalikan kerajaan berasaskan perlembagaan dan ketenangan di Perak yang kini dalam keadaan bercelaru. "Sila lihat Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dengan teliti. Satu-satunya individu yang boleh memanggil sidang DUN ialah Sultan Perak. Sangat jelas bahawa tiada peruntukan untuk beliau (Sivakumar) memanggil sidang DUN. "Perkara 36 (1) Undang-undang Tubuh Negeri Perak menyatakan hanya Sultan Perak boleh memanggil Sidang DUN," katanya.
Pagi semalam, Sivakumar dan Adun Pakatan Rakyat yang dihalang memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan DUN, meneruskan sidang tergempar mereka di bawah pokok di tempat letak kenderaan, kira-kira 50 meter dari pintu masuk bangunan berkenaan. Sidang tergempar kira-kira 20 minit bermula jam 10.15 pagi itu, meluluskan tiga usul, iaitu:
*Undi percaya dan menyokong Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar yang sah;
*Mengesyorkan Sultan Perak supaya membubarkan DUN; dan
*Melulus serta mengesahkan keputusan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan menggantung Zambry dan enam Exconya daripada menghadiri sidang DUN selama 18 dan 12 bulan.


Semua usul itu - pertama dibentangkan oleh Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah; kedua oleh Adun Teja, Chang Lih Kang dan ketiga oleh Adun Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham - diluluskan sebulat suara. Semua Adun Pakatan Rakyat itu berdiri sepanjang persidangan dijalankan dengan dibantu Mohd Misbahul Munir Masduki yang bertindak sebagai 'Setiausaha DUN.' Beliau dilantik kelmarin menggantikan Abdullah Antong Sabri yang digantung perkhidmatannya serta-merta oleh Sivakumar. Sidang tergempar itu disaksikan kira-kira 100 penyokong pembangkang, yang turut membuat 'perisai manusia' mengelilingi semua Adun terbabit bagi menghalang orang tidak berkenaan masuk.

Persidangan itu berlangsung dengan menggunakan alat pembesar suara dengan salakan anjing turut kedengaran berulang kali dari beberapa rumah berhampiran. Sebelum itu, berlaku kekecohan apabila semua Adun terbabit serta kira-kira 100 penyokong Pakatan Rakyat yang berasak-asak hendak memasuki dewan DUN melalui pintu masuk di bahagian belakang bangunan, dihalang polis. Pergaduhan juga hampir tercetus apabila penyokong mereka dan sekumpulan, dipercayai penyokong Barisan Nasional (BN) bertembung di hadapan pintu masuk berkenaan, tetapi dapat dikawal polis.

Keadaan reda apabila semua Adun Pakatan Rakyat beredar dari kawasan bangunan berkenaan sebelum mengadakan sidang tergempar DUN di bawah pokok di tempat letak kenderaan di bahagian belakang bangunan itu. Mohammad Nizar pada sidang media di pejabat DAP Perak sejurus selepas itu, berkata beliau akan berbincang dengan Sivakumar dan membuat beberapa dokumentasi sebelum cuba menghadap Sultan Perak dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan perkenan membubarkan DUN. Mengenai aduan Adun Barisan Nasional (BN) tidak menerima notis bagi menghadiri sidang itu, Mohammad Nizar berkata, ia mungkin disebabkan masalah teknikal.
Sumber : Berita Harian (Rabu 4 March 2009)