Jumaat, Mac 13, 2009

Bukan Kerana Wang!!!

CHANGKAT JERING: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jering, Kapten (B) Mohd Osman Jailu yang keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menyokong Barisan Nasional (BN) bulan lalu, mendedahkan pemerintahan 11 bulan Pakatan Rakyat di Perak dimonopoli dan dimanipulasi sepenuhnya oleh DAP dan Pas. Beliau juga menafikan ganjaran kemewahan menjadi punca beralih menyokong BN, sebaliknya berbuat demikian kerana kecewa dengan beberapa tindakan kerajaan Pakatan Rakyat. Bekas ahli Exco kerajaan Perak itu, berkata tuduhan bahawa beliau mendapat pelbagai ganjaran kerana menyokong BN tidak benar kerana ketika itu BN dikatakan di ambang kematian, manakala Pakatan Rakyat didakwa berada di kemuncak.


"Inilah bukti saya menyokong BN dan menjadi Adun Bebas bukan kerana jawatan mahupun wang ringgit. Semuanya kerana saya sayangkan agama, bangsa dan sayang kepada rakyat Perak," katanya dalam ceramah dan makan tengah hari anjuran Pertubuhan Dakwah dan Islamiah Malaysia (Pekida) di Air Kuning, di sini, semalam. Hadir sama Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan kira-kira 1,000 penduduk tempatan. Majlis terbuka itu adalah kali pertama dihadiri Osman sejak mengisytihar diri sebagai Adun Bebas awal bulan lalu.


Osman berkata, pemerintahan Pakatan Rakyat selama 11 bulan di Perak yang dimonopoli dan dimanipulasi sepenuhnya oleh DAP dan Pas mendorong beliau dan seorang lagi Exco dari PKR, Jamaludin Mohd Radzi menjadi Adun Bebas. Katanya, beliau dan Jamaluddin yang juga Adun Behrang, amat kecewa kerana pandangan mereka tidak pernah tidak diambil kira dalam mesyuarat Exco. Beliau berkata, banyak keputusan dibuat berdasarkan kehendak DAP terutama menerusi dua Exconya, iaitu bekas Exco Kanan yang juga Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan bekas Ketua Pemuda DAP, Nga Kor Ming. Osman berkata, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin juga gagal memberi pertimbangan adil sehingga banyak tindakan kerajaan lebih memihak kepada DAP.


"Banyak keputusan dipengaruhi Ngeh dan Nga. Jamaluddin dan saya sentiasa berusaha keras untuk memperbetul keadaan sehingga kadang-kala dalam Mesyuarat Exco, timbul ketegangan. "Malangnya, Menteri Besar ketika itu tidak mengambil sikap menjadi pemimpin, sebaliknya keputusan yang dibuat memihak kepada DAP," katanya. Osman berkata, beliau dan Jamaludin tidak dapat melaksanakan amanah dengan baik sebagai Exco kerana pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat mempunyai kepincangan yang amat jelas. “Kehadiran kami sebagai Exco seolah-olah hanya untuk memenuhi syarat memerintah Perak. Banyak keputusan dibuat terbukti berat sebelah. Selama 11 bulan bersama mereka, kerajaan diperintah DAP dan Pas saja," katanya.

Dipetik dari Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Komen