PONTIAN: Jenazah Noordin Mohamad Top yang ditembak mati di Solo, Jawa Tengah, Indonesia, baru-baru ini selamat dikebumikan dalam keadaan kawalan oleh lebih 100 anggota polis, di tanah perkuburan Islam Kampung Melayu Pontian Besar di sini, lewat petang semalam. Jenazah yang turut diiringi isterinya, Siti Rahmah Rusdi dan abangnya yang dikenali sebagai Yahya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tiba di Masjid Jamek Nurul Iman Kampung Melayu Pontian Besar di sini, kira-kira jam 6 petang untuk solat jenazah yang diimamkan oleh imam masjid berkenaan, Kassim Tambang. Suasana di pekarangan masjid dipenuhi orang ramai dan wartawan dari dalam dan luar negara sejak tengah hari semalam selepas menerima berita kepulangan jenazah Noordin yang akan dikebumikan di tanah kelahiran beliau itu.
Bagaimanapun, suasana di pekarangan tanah perkuburan itu agak sayu apabila ahli keluarga Noordin yang terdekat diberi peluang melihat wajah Allahyarham untuk kali terakhir sebelum dikebumikan. Masa untuk membaca talkin yang disempurnakan Kassim itu turut mengambil masa lebih sejam selepas mayat dikebumikan disebabkan tanah liat yang basah akibat hujan tengah malam kelmarin. Jenazah Noordin yang tiba di KLIA, Kuala Lumpur jam 3 petang semalam diterbangkan dari Jakarta, Indonesia pada jam 1 tengah hari waktu tempatan dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS).
Kenderaan jenazah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kemudian membawa jenazah itu terus ke masjid berkenaan untuk disembahyangkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk pengebumian. Noordin, 41, yang mengetuai kumpulan serpihan radikal Jemaah Islamiah (JI) dikenali 'Tandzim Al-Qoidah Indonesia' terbunuh dalam satu operasi pihak berkuasa negara itu, sekali gus menamatkan pemburuan selama enam tahun terhadap pengganas nombor satu Asia Tenggara itu. Abang keduanya, Jamil Mohamad Top, 52, berkata, beliau dan ahli keluarganya bersyukur segala urusan pengkebumian jenazah berjalan lancar tanpa mengalami sebarang masalah yang tidak diingini. "Alhamdulillah, semuanya berlangsung dengan baik dan kesempatan melihat wajah Allahyarham adalah amat dihargai dan kami bersyukur kerana arwah kelihatan sangat bersih dan tenang," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Abang iparnya, Supriyo Sutekno, 50, pula berkata walaupun tidak menyokong perjuangan yang dilakukan adik iparya itu, tetapi beliau tetap menghormati prinsip arwah yang bersungguh-sungguh memperjuangkan Islam. "Perjuangan beliau memang tidak diiktiraf masyarakat dunia tetapi sebagai keluarga kami tetap menghormati pendirian beliau dan kami berharap selepas ini tiada lagi laporan daripada media yang akan mengguriskan hati dan perasaan kami sebagai ahli keluarga arwah,"katanya.
P/s: Penulis mengambil peluang ini untuk mengucapkan Salam Takziah kepada seluruh ahli Keluarga Nordin.
Cuma penulis kesal, kenapa kepakarannya tidak digunakan ke jalan yang betul. Jika tidak pasti negara mendapat manfaatnya. Apabila agama dijadikan alasan untuk berjihad maka inilah jadinya, walhal jihad itu luas maksudnya.
Al-Fatihah...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan