Jumaat, Februari 13, 2009

Akhirnya...Nizar Setuju Keluar & Serah Kereta...

IPOH: Kira-kira seminggu selepas pelantikan Menteri Besar yang baru, Pakatan Rakyat yang ‘berkubu’ di kediaman rasmi Menteri Besar di Jalan Raja DiHilir di sini akhirnya ‘mengalah’ apabila bersetuju mengosongkan kediaman berkenaan dan menyerahkan semua 11 kenderaan rasmi Toyota Camry kepada kerajaan negeri yang baru.


Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata beliau dan keluarganya akan mengambil masa antara tujuh hingga 10 hari untuk mengosongkan rumah berkenaan, manakala kenderaan rasmi itu akan diletakkan di premis kediaman rasmi Menteri Besar secara berperingkat mulai pagi Sabtu ini. "Saya dengan rela hati akan keluar dari rumah ini dalam tempoh terdekat dengan cara terhormat dan menyewa di kediaman lain yang berdekatan dengan tempat anak saya bersekolah di Rapat Setia di sini.




"Keputusan ini dibuat demi menghormati undang-undang dan peraturan sedia ada tetapi tidak akan menjejaskan tindakan kami untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap kerajaan negeri baru," katanya pada sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar di sini, semalam.



Mohammad Nizar berkata, beliau sudah menerima surat rasmi daripada kerajaan negeri untuk menyerahkan kenderaan rasmi yang digunakan, manakala Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim, menelefonnya secara peribadi semalam menyatakan akan menghantar surat rasmi kepadanya supaya mengosongkan kediaman itu tetapi tidak memberikan sebarang had masa untuk berbuat demikian.



Ditanya kenapa tidak menyerahkan kenderaan rasmi ke pejabat, beliau berkata, pihaknya menganggap ia sebagai kereta rakyat dan perlu ditinggalkan di kediaman rasmi milik rakyat.



Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun masih menganggap sebagai kerajaan negeri yang sah dan akan hadir di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 14 Februari ini untuk meraikan majlis sambutan Jubli Perak pemerintahan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Ditanya bagaimana mahu bergerak selepas ini selepas tiada kenderaan rasmi, Mohammad Nizar berkata: "Ya, kami akan gunakan kenderaan awam atau motosikal atau kereta kami masing-masing. "Kami akan terus bertemu dengan rakyat atas kapasiti kami sebagai kerajaan negeri yang sah.



"Awak (wartawan) boleh bertemu saya di pejabat parti atau rumah sewa saya nanti atau pejabat Menteri Besar di kampung-kampung yang kita akan pilih, pejabat Exco pun di situ, kita akan bermesyuarat di situ... ini kerajaan buangan," katanya berseloroh.
Beliau berkata, maklumat media akan disalurkan seperti biasa menerusi Setiausaha Akhbar tetapi dijangka lebih cepat berbanding sebelum ini. Ditanya perasaannya kerana terpaksa mengosongkan kediaman rasmi itu, Mohammad Nizar berkata: "Saya anggap ini sebagai berhijrah sekejap, kemudian datang semula ke sini, macam Nabi berhijrah ke Madinah kemudian kembali ke Makkah semula."




Mengenai kediaman itu yang akan diduduki Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, beliau berkata: "Itu hak mutlak dia... rumah ini saya tidak duduk dah, jika dia rasa tidak malu, dia duduklah," katanya. Mohammad Nizar juga berkata, Pakatan Rakyat menerusi panel yang terdiri daripada 12 peguam akan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur jam 11 pagi hari ini supaya mengisytiharkan kerajaan negeri baru di bawah pimpinan Zambry sebagai tidak sah, manakala kerajaan Pakatan Rakyat sebagai kerajaan negeri yang sah. Beliau berkata, panel peguam berkenaan sudah menasihatkannya supaya memfailkan saman di ibu negara dan bukan di Ipoh, justeru terpulang kepada mahkamah membuat keputusan sama ada mahu meneruskan kes itu di Kuala Lumpur atau memindahkannya ke sini. "Mengikut undang-undang, kami boleh memfailkan saman di mana-mana mahkamah yang berada dalam Malaya (Semenanjung Malaysia) kecuali di Sabah dan Sarawak," katanya.


Sumber ; Berita Harian Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan