IPOH: Tindak-tanduk Pakatan Rakyat (PR) di sini sejak awal bulan lalu yang membawa kepada krisis perlembagaan berpanjangan bertujuan menidakkan institusi beraja di Perak dan menjadikan negeri ini sebuah republik. Malah, Menteri Besar, Datuk Dr Mohd Zambry Abdul Kadir, berkata tindakan penyokong Pakatan Rakyat menyamakan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tergempar minggu lalu dengan perhimpunan golongan bangsawan di gelanggang tenis Paris pada 1789 hingga mencetuskan Revolusi Perancis yang menjatuhkan Raja Louis XVI dan menamatkan sistem beraja di negara itu, amat berbahaya. Katanya, pemimpin pembangkang cuba meracuni pemikiran rakyat dengan mengatakan sidang DUN haram di bawah pokok itu sebagai lokasi bersejarah dalam sistem demokrasi, tetapi hakikatnya ia simbol penderhakaan kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Zambry menyifatkan pokok itu pokok ‘patik mohon sembah derhaka’, memetik kata-kata bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ketika enggan mematuhi titah Sultan Azlan pada 5 Februari lalu supaya meletak jawatan. "Mereka mengatakan itu pokok demokrasi tetapi pada saya ia tanda penderhakaan kepada institusi beraja kerana kita tahu mereka tidak mendapat perkenan (untuk mengadakan sidang DUN). “Malah, mahkamah sendiri memutuskan kedudukan mereka (tidak sah). Tindakan mereka secara simboliknya menunjukkan penderhakaan kepada Tuanku Sultan dan institusi beraja di Perak.
"Itulah kemuncak pada perlakuan mereka. Saya ingin rakyat melihat kelakuan mereka ini yang sebenarnya langsung tidak menghormati proses demokrasi," katanya kepada pemberita selepas sambutan Maulidur Rasul di sini, semalam. Majlis itu disempurnakan oleh Sultan Azlan Shah. Dr Zambry berkata, tindakan penyokong pembangkang menyamakan 'Sidang DUN' haram di bawah pokok dengan perhimpunan di gelanggang tenis Paris pada abad ke-18 amat berbahaya kepada keharmonian kaum di negara ini.
Katanya, ia adalah gerakan halus untuk menafikan institusi beraja di negeri ini yang sudah berakar umbi sejak beratus-ratus tahun lamanya dan sebati dengan jiwa orang Melayu. Sementara itu, di KUALA LUMPUR dalam kenyataan yang difaks kepada Bernama kelmarin, Zambry berkata, Mohammad Nizar tiada hak untuk memohon perkenan Sultan Azlan Shah bagi membubarkan DUN Perak, Beliau berkata, Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak memperuntukkan hanya Menteri Besar yang mempunyai hak menghadap Sultan Perak memohon perkenan baginda membubarkan DUN.
Dipetik dari Berita Harian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan