Rabu, Oktober 28, 2009

Drama di DUN Perak!!

SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan berlangsung sekali lagi, hari ini. Kali ini, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dijadual membentangkan bajet negeri.

Namun apa yang menjadi kebimbangan ialah perencanaan masa depan rakyat negeri Perak itu tidak dapat dilakukan jika pihak yang tidak bertanggungjawab sekali lagi mencetuskan kekecohan.

Sekiranya jangkaan itu benar-benar berlaku, bermakna rakyat Perak akan terus menjadi mangsa keadaan.

Usaha kerajaan untuk memastikan rakyat hidup dalam keadaan baik jelas dinyatakan pada pembentangan Bajet 2010 oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak, Jumaat lalu.
Semangat yang dijana di peringkat Pusat itu pastinya akan turut dibawa ke Perak. Lebih-lebih lagi Najib pernah menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri. Lebih pasti, Najib juga adalah individu yang bertanggungjawab membawa cahaya kepada masa depan BN Perak setelah berjaya mengeluarkan negeri tersebut daripada jerebu politik berpanjangan.

"Penyerahan" Perak kepada Zambry juga sebenarnya bukan satu keputusan mudah. Tanpa keyakinan bahawa ADUN Pangkor itu mampu memikul tugas dan tanggungjawab, penyerahan tersebut tidak mungkin akan berlaku. Untuk mencapai tahap maju dan membangun, kebajikan rakyat harus diberi perhatian serius. Ini selari dengan slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Justeru, pembentangan bajet negeri kali ini dilihat sebagai amat penting untuk merealisasikan hasrat kerajaan dan harapan rakyat. Kepada Zambry, beliau sedar betapa rakyat yang dipimpinnya memerlukan perhatian dan sokongan padu kerajaan negeri ketika ini.

Mengambil kira perkara ini, beliau pasti akan melakukan yang terbaik. Malah, apa yang lebih penting, berusaha membawa Perak ke tahap yang lebih dibanggakan.

Namun, belum pun Sidang DUN berlangsung, telah berlaku tuduh menuduh tentang siapa yang sebenarnya bertanggungjawab merancang kekecohan pada hari tersebut.

Dalam satu sidang media di Ipoh, Pas mendakwa Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Abdul Rahman Hashim 'mengarahkan' Zambry menggantikan bentara Dewan dengan 15 "samseng" dari sebuah pertubuhan Melayu bagi tujuan mengawasi perjalanan mesyuarat itu.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, beliau mendapat tahu mengenai perkara tersebut melalui maklumat dalaman yang boleh dipercayai. Agak pelik apabila beliau menuduh Zambry kini boneka SUK.

Jika tuduhan ini diambil kira, persoalan lain juga boleh dikaitkan. Mengapa Pas takut dengan "samseng-samseng" tersebut jika tidak melakukan kesalahan?

Sama ada dakwaan dibangkitkan benar atau tidak, isu "samseng" tidak wujud sekiranya kedua-dua pihak menghormati Sidang DUN.

Ketakutan Mohammad Nizar terhadap samseng yang didakwanya itu juga menggambarkan seolah-olah beliau bimbang 'drama' barunya akan gagal.

Apa pun yang bakal berlaku, harapan mereka yang sayangkan negeri dan masa depan generasi akan datang ialah agar sidang kali ini lebih tertumpu kepada soal rakyat, bukan soal pertikaian kuasa kerana ia membantutkan usaha memacu Perak ke peringkat terbaik setanding negeri-negeri lain.
Dipetik dari Selamatkan Perak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan