Sabtu, Oktober 03, 2009

Hadi Kata, Peluang Nak Menang Sukar!!!

PORT DICKSON: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, hari ini mendakwa undi pos tidak telus dan faktor ini menyukarkan partinya untuk memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang 11 Oktober ini. "Kita sedar peluang untuk menang payah tapi ia (kemenangan) tidak mustahil," katanya kepada pemberita selepas penamaan calon pilihan raya kecil kawasan itu di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson di sini. Kawasan DUN Bagan Pinang mempunyai 13,644 pemilih berdaftar termasuk 4,604 pengundi pos.
Pada pilihan raya umum 2008, BN memperoleh 3,080 daripada 5,191 undi pos manakala calon Pas mendapat 1,189 undi. Pilihan raya kecil itu menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, ditentang calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar, yang juga Pesuruhjaya Pas negeri itu. Bagi Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, sokongan pengundi pos akan menentukan keputusan pilihan raya itu nanti.
Untuk itu, Khalid yang juga Menteri Besar Selangor mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lebih telus dalam mengendalikan proses pengundian secara pos kebanyakannya membabitkan anggota tentera. Naib Presiden Pas yang juga pengarah jentera pilihan raya kecil Pas bagi DUN Bagan Pinang, Salahuddin Ayub, turut berpandangan sama. "Kita akui kita parti 'underdog' tetapi beberapa indikasi menunjukkan kita ada peluang di Bagan Pinang," katanya. Pemerhati politik sebelum ini meramalkan isu undi pos akan dimainkan pakatan Pas-DAP-PKR di Bagan Pinang sebagai strategi kempennya selain isu berbangkit lain. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan