Sabtu, Oktober 03, 2009

Dua Penjuru Di Bagan Pinang!!

PORT DICKSON: Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang pada 11 Oktober ini menyaksikan pertandingan antara calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Mohd Isa Samad, 59, dan calon Pas, Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Omar, 45. Penerimaan pencalonan mereka bertanding diumumkan Pengurus Pilihan raya kecil itu, Abdul Wahab Shamsuddin, di Pusat Penamaan Calon di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD)pada jam 11.21 pagi tadi. Abdul Wahab berkata, sebanyak dua bantahan dikemukakan kepada SPR sepanjang tempoh bantahan tetapi kedua-duanya ditolak.
Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahagian Telok Kemang, Sharudin Abdul Hamid, yang turut hadir di pusat penamaan calon itu, bagaimanapun gagal mengemukakan kertas pencalonan kerana tidak mempunyai pencadang dan penyokong. Semalam, beliau nekad melepaskan jawatan dalam PKR untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu sebagai calon Bebas. Isa adalah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan manakala Zulkefly pula adalah Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan Zulkefly. Kerusi DUN Bagan Pinang kosong selepas penyandangnya, Azman Mohammad Noor, yang mewakili BN, meninggal dunia pada 4 September lalu.
Pada pilihan raya umum 2008, Azman berjaya menewaskan calon Pas, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi. Sejumlah 13,664 pemilih berdaftar, yang terdiri daripada 9,060 pemilih biasa dan 4,604 pemilih pos, layak mengundi pada pilihan raya kecil ini. Kawasan DUN Bagan Pinang mempunyai lapan daerah mengundi iaitu Pekan Siliau, Teluk Kemang, Ladang Atherton, Ladang Bradwall, Kampung Bagan Pinang, Taman Eastern, Sua Betong dan SiRusa.
Dipetik dari Berita Harian Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan