Oleh Dr. Mohamad Khir Bin Toyo
1. Apa yang dicari dalam pilihan raya? Imej parti atau kehendak rakyat? Ini tentulah seperti diluah mati bapak, ditelan mati emak.
2. YB Lim Guan Eng dipenjara selama 18 bulan di bawah dua Akta, iaitu Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, menjalani hukuman dan akhir menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.
3. Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara selama enam tahun atas kesalahan salah guna kuasa. Dibebaskan dari hukuman liwat kerana Mahkamah Persekutuan mendapati bukti-bukti yang dikemukakan tidak cukup kukuh untuk mensabitkan kesalahan biarpun hakim-hakim tersebut percaya wujud kejadian tersebut dan mahkamah sebelumnya telah mensabitkan kesalahan ke atasnya. Hari ini beliau menang di Parlimen Permatang Pauh dan menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen.
4. Mengapa mereka masih menang biarpun sudah didapati bersalah oleh Mahkamah dan menjalani hukumannya? Jawapannya tentulah kerana rakyat di kawasannya mahukan beliau menjadi wakil mereka. Biar apa pun pandangan undang-undang dan masyarakat terhadap mereka namun mereka tetap menjadi pilihan rakyat di kawasan mereka.
5. Ada juga wakil rakyat bukan UMNO yang ditangkap berkhalwat dengan isteri orang kemudiannya dibebaskan oleh mahkamah atas sebab teknikal telah juga menang pilihan raya beberapa kali selepasnya.
6. YM Tengku Razaliegh Hamzah (Ku Li) pernah dituduh terbabit dengan skandal BMF, bertanding atas tiket S46, tetapi masih menang di Gua Musang. Malah saya percaya walau apa pun tuduhan dan tohmahan terhadap Ku Li beliau tetap akan menang di Gua Musang kerana perkhidmatannya yang baik kepada rakyat di sana.
7. Bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Datuk Harun Idris didapati bersalah oleh Mahkamah atas tuduhan salah guna kuasa, menjalani hukuman penjara dan kemudiannya mendapat pengampunan yang Di Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Jika tidak silap saya Allahyarham turut memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuala Langat selama 3 tahun sehingga 1984.
8. Beliau kemudiannya di pilih oleh Ku Lu untuk bertanding dalam Pilihan raya kecil Parlimen Ampang Jaya pada 1989 atas tiket Semangat 46 dan disokong oleh Pas. Sungguhpun kalah beliau tetap mendapat undi yang memberangsangkan.
8. Tujuan saya membentangkan beberapa fakta ini bukanlah untuk menceritakan keaiban sesiapa, mahu pun menyatakan tidak salah kita membuat salah asalkan rakyat terus menerima kita. Bukan pula saya mengatakan mereka yang telah didapati bersalah juga boleh secara bebas dan sewenang-wenangnya dipilih menjadi calon Barisan Nasional.
9. Cuma fakta-fakta ini menimbulkan persoalan dan polemik apakah ahli politik yang pernah berbuat salah dan telah menjalani hukuman tidak wajar diberi peluang kedua jika rakyat di kawasannya masih mahukan khidmat beliau?
10. Dalam konteks inilah kita perlu menilai isu pemilihan calon DUN Bagan Pinang minggu hadapan.
11. Apakah jika Tan Sri Isa dipilih maka ia akan memburukkan imej parti di peringkat nasional? Kepada sebahagian mereka yang memilih untuk membenci UMNO dan Barisan Nasional, mereka akan menggunakan alasan ini untuk terus memburukkan parti. Kumpulan ini akan memburukkan sesiapa sahaja yang menggunakan lambang Barisan Nasional.
12. Semua orang harus berlaku adil kepada Tan Sri Isa Samad. Beliau didapati bersalah dari segi etika pemilihan parti oleh Lembaga Disiplin UMNO. Beliau digantung selama tiga tahun dan telah menjalani hukuman tersebut. Kesalahan beliau adalah kesalahan politik bukannya kesalahan jenayah. Beliau juga dijatuhkan hukuman oleh Lembaga Disiplin UMNO bukannya Mahkamah dan Undang-undang negara.
13. Ini seharusnya memberi perspektif yang berlainan daripada kes-kes di atas tadi. Saya tidak mempertikaikan keputusan Lembaga Disiplin UMNO kerana Lembaga bertujuan menjaga etika pemilihan parti bukannya membuat keputusan atas kesalahan jenayah. Justeru sistem dan kaedah perbicaraan Lembaga Disiplin UMNO lebih longgar dan berbeza dengan Mahkamah dari segi beban pembuktian dan kekuatan bukti.
14. Dari segi moral pun kesalahan dan kesilapan yang dilakukan oleh Tan Sri Isa jauh lebih kecil dari contoh-contoh ahli politik yang saya nyatakan di atas. Justeru adakah wajar Tan Sri Isa terus dihukum walapun selepas beliau telah menjalani hukuman?
15. Apakah sudah hilang konsep peluang kedua dan memaafkan perkara lalu dalam kehidupan kita? Apakah sekali salah maka selama-lamanya menanggung kesalahan tersebut sehingga tiada peluang menebusnya?
16. Apa yang penting ialah majoriti pengundi di Bagan Pinang mahukan Tan Sri Isa, Jika kajian dan soal selidik parti menunjukkan ini kehendak rakyat di sana maka Barisan Nasional harus membuat keputusan yang sewajarnya.
17. Bukankah Datuk Seri Najib sendiri telah menyatakan bahawa zaman kerajaan atau parti tahu segalanya sudah berakhir dan rakyat perlu didahulukan? Justeru jika keputusan UMNO Bahagian dan kehendak pengundi Bagan Pinang tidak diterjemahkan dalam pemilihan calon nanti apa ertinya segala slogan dan janji?
18. Pemimpin Barisan Nasional perlu sedar bahawa masalah terbesar parti dan kerajaan hari ini bukan masalah imej tetapi masalah polisi dan perjalanan kerajaan. Parti pemerintah akan sentiasa ada masalah imej kerana kita akan sentiasa diserang dan berada dalam keadaan situasi mempertahankan diri.
19. Tiada manusia dan parti yang tidak membuat kesilapan. Namun yang menjatuhkan kebanyakan parti pemerintah ialah apabila rakyat bosan dengan polisi dan perjalanan kerajaan yang tidak membantu kehidupan mereka.
20. Imej parti dan kerajaan lebih buruk pada 1998 berbanding 2008 namun mengapa kita kalah teruk pada 2008 berbanding 1999? Ia berlaku apabila rakyat diletakkan dalam keadaan tiada rugi sedikit pun jika mereka mengambil risiko menukar kerajaan. Apabila rakyat dibebani oleh isu perut, tembolok dan kelangsungan (survival) kehidupan maka ketika itu berlakulah seperti apa yang berlaku pada 2008.
21. Maka Barisan Nasional harus bertanya mahu memperbaiki imej atau mahu memenuhi kehendak rakyat?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan