Rabu, Mac 04, 2009

Kerajaan Pasir Dua Butir!!!




Sidang DUN Perak dibawah pokok berhadapan dgn SUK Perak
IPOH: Sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak oleh 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakatan Rakyat di bawah pokok di luar Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam, dianggap tidak sah berikutan perintah Mahkamah Tinggi menghalang Speaker, V Sivakumar, mengadakan sebarang sidang DUN tanpa perkenan Sultan Perak. Perintah itu dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim, beberapa jam selepas Sivakumar meneruskan sidang tergempar yang mencetuskan kontroversi kerana diadakan tanpa menunggu keputusan mahkamah berhubung saman Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin terhadap pelantikan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar.



Ketua Panel Peguam Barisan Nasional (BN), Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, berkata Ridwan membuat keputusan itu tanpa memberi tempoh masa dan itu bermakna sidang tergempar DUN yang diadakan sebelum perintah berkenaan dikeluarkan, juga tidak sah. Bercakap kepada pemberita di sini petang semalam, Firoz Hussein berkata, Ridwan mengeluarkan perintah itu mengikut Seksyen 44 Akta Relif Spesifik selepas mendengar permohonan injunksi Zambry dan enam Exconya bagi menghentikan apa-apa sidang DUN yang tidak berlandaskan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Permohonan injunksi itu dibuat sebagai permohonan sampingan selepas Zambry dan enam Adun berkenaan memfailkan saman pemula kelmarin, meminta mahkamah mengisytiharkan keputusan Sivakumar menggantung mereka daripada menghadiri sidang DUN sebagai tidak sah.


Kelihatan penyokong Pakatan Rakyat yang hadir untuk melihat "Sidang DUN Perak" semalam



Mahkamah bagaimanapun belum memutuskan tarikh bagi mendengar saman pemula deklarasi berkenaan. Firoz Hussein berkata, keputusan Ridwan mengeluarkan perintah itu dapat mengembalikan kerajaan berasaskan perlembagaan dan ketenangan di Perak yang kini dalam keadaan bercelaru. "Sila lihat Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dengan teliti. Satu-satunya individu yang boleh memanggil sidang DUN ialah Sultan Perak. Sangat jelas bahawa tiada peruntukan untuk beliau (Sivakumar) memanggil sidang DUN. "Perkara 36 (1) Undang-undang Tubuh Negeri Perak menyatakan hanya Sultan Perak boleh memanggil Sidang DUN," katanya.
Pagi semalam, Sivakumar dan Adun Pakatan Rakyat yang dihalang memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan DUN, meneruskan sidang tergempar mereka di bawah pokok di tempat letak kenderaan, kira-kira 50 meter dari pintu masuk bangunan berkenaan. Sidang tergempar kira-kira 20 minit bermula jam 10.15 pagi itu, meluluskan tiga usul, iaitu:
*Undi percaya dan menyokong Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar yang sah;
*Mengesyorkan Sultan Perak supaya membubarkan DUN; dan
*Melulus serta mengesahkan keputusan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan menggantung Zambry dan enam Exconya daripada menghadiri sidang DUN selama 18 dan 12 bulan.


Semua usul itu - pertama dibentangkan oleh Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah; kedua oleh Adun Teja, Chang Lih Kang dan ketiga oleh Adun Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham - diluluskan sebulat suara. Semua Adun Pakatan Rakyat itu berdiri sepanjang persidangan dijalankan dengan dibantu Mohd Misbahul Munir Masduki yang bertindak sebagai 'Setiausaha DUN.' Beliau dilantik kelmarin menggantikan Abdullah Antong Sabri yang digantung perkhidmatannya serta-merta oleh Sivakumar. Sidang tergempar itu disaksikan kira-kira 100 penyokong pembangkang, yang turut membuat 'perisai manusia' mengelilingi semua Adun terbabit bagi menghalang orang tidak berkenaan masuk.

Persidangan itu berlangsung dengan menggunakan alat pembesar suara dengan salakan anjing turut kedengaran berulang kali dari beberapa rumah berhampiran. Sebelum itu, berlaku kekecohan apabila semua Adun terbabit serta kira-kira 100 penyokong Pakatan Rakyat yang berasak-asak hendak memasuki dewan DUN melalui pintu masuk di bahagian belakang bangunan, dihalang polis. Pergaduhan juga hampir tercetus apabila penyokong mereka dan sekumpulan, dipercayai penyokong Barisan Nasional (BN) bertembung di hadapan pintu masuk berkenaan, tetapi dapat dikawal polis.

Keadaan reda apabila semua Adun Pakatan Rakyat beredar dari kawasan bangunan berkenaan sebelum mengadakan sidang tergempar DUN di bawah pokok di tempat letak kenderaan di bahagian belakang bangunan itu. Mohammad Nizar pada sidang media di pejabat DAP Perak sejurus selepas itu, berkata beliau akan berbincang dengan Sivakumar dan membuat beberapa dokumentasi sebelum cuba menghadap Sultan Perak dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan perkenan membubarkan DUN. Mengenai aduan Adun Barisan Nasional (BN) tidak menerima notis bagi menghadiri sidang itu, Mohammad Nizar berkata, ia mungkin disebabkan masalah teknikal.
Sumber : Berita Harian (Rabu 4 March 2009)

3 ulasan:

  1. Salam Tuan Blog..

    Apa kata jadi sebahagian team BPN ?

    Kita kuatkan team pembela negara ini?

    BalasPadam
  2. Cara : letak logo BPN - List Blogger BPN - Resolusi BPN dan Chatroll BPN..

    Tu saja

    BalasPadam
  3. Pemuda UMNO dituduh mengugut dengan peluru dan dibilang ‘celaka’.

    Mana-mana Pemuda, kiranya bertembung dengan Karpal, pasti menuntut kenapa tanpa soal-siasat, di Dewan Rakyat di mana semua sebutan dirakam dalam “Hansard”, Pemuda UMNO dituduh bukan-bukan dan digelarnya ‘celaka’.

    Mungkinkah ada yang sabar kiranya Karpal di depan mata? Ada. KP2 UMNO Selangor yang berdepan Karpal hari itu MEMOHON penjelasan dengan hormat kepada Karpal sebagai orang tua & Pengerusi DAP.

    Namun KP2 ini kini dicela. Tidak lagi. Kita pertahankan nama baik kawan2 di Selangor melalui http://www.thoughtsintangents.blogspot.com dan http://www.lattsharizan.com.

    BalasPadam