Muhyiddin tetap anggap Penasihat PKR pengkhianat Melayu
PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau tidak akan meminta maaf berhubung kenyataannya yang menyifatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat bangsa Melayu terbesar kerana menganjurkan perhimpunan haram bagi memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). "Saya tidak akan meminta maaf sebab itu memang kenyataan saya... saya bukan bohong (kenyataan) dan apa yang sudah dilaporkan itu adalah benar... itulah saja komen saya," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan antara Kementerian Mengenai Pandemik Influenza A (H1N1) di sini, semalam. Sabtu lalu, akhbar melaporkan bahawa Muhyiddin melabelkan Anwar sebagai 'pengkhianat bangsa Melayu terbesar' kerana menganjurkan perhimpunan haram memansuhkan ISA, di ibu negara pada hari sama.
Malah, Muhyiddin turut menyifatkan Anwar sebagai manusia lidah bercabang ketika menghadiri mesyuarat Umno Bahagian Seri Gading di Batu Pahat, Johor kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak pernah mengubah prinsipnya hanya semata-mata untuk memastikan cita-citanya dalam bidang politik tercapai. Berikutan itu, kelmarin Anwar meminta supaya Muhyiddin membuat permohonan maaf atau berhadapan dengan saman sebanyak RM100 juta kerana mengeluarkan kenyataan itu. Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau sudah menerima surat saman itu dan menyerahkan kepada peguamnya untuk mengambil tindakan sewajarnya.
Mengenai tuntutan supaya Akta ISA dipinda, beliau berkata, proses kajian terhadap akta itu sedang giat dijalankan susulan jaminan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada April lalu. "Saya meminta semua pihak termasuk pembangkang supaya memberi peluang kepada kerajaan kerana proses kajian terhadap Akta ISA sedang berjalan... takkan dalam empat bulan ia akan selesai... nak pinda undang-undang lain pun mengambil masa yang lama. "Semua pihak termasuk pembangkang akan diberikan peluang menyatakan pandangan mereka dan berhak meneliti apa yang akan kita bawa ke Parlimen nanti... jadi mereka perlu gunakan peluang itu untuk menyatakan pendapat masing-masing," katanya. Sehubungan itu, beliau berharap pembangkang tidak membuat andaian awal bahawa kajian berhubung pindaan Akta ISA itu dilaksanakan selepas kerajaan didesak berbuat demikian oleh pembangkang.
Dalam pada itu, Muhyiddin meminta orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang menganjurkan perhimpunan haram memansuhkan ISA kerana ia dilakukan dengan tujuan meraih simpati orang ramai. "Biarlah rasional.. buat tuntutan biar berpada-pada, jangan nak jadi hero kepada rakyat tetapi negara porak peranda," katanya.
Sementara itu, di IPOH, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menganggap tindakan Anwar mengugut mahu menyaman Muhyiddin menunjukkan seolah-olah Ketua Pembangkang itu `terlalu suci' dan tidak boleh dikritik sedangkan dia mengkritik orang lain sewenang-wenangnya. Beliau turut hairan kerana Anwar yang dianggap sebagai `orang hebat' oleh penyokongnya, tetapi pada masa sama apabila dikritik sedikit sudah melenting dan mula mengancam mahu mengambil tindakan undang-undang. "Saya pun tidak faham dengan dia (Anwar) sekarang ni, orang lain sudah tidak boleh nak buat aduan, nak bercakap tentang dia, (tetapi) dia bercakap (keburukan) orang (lain) tidak apa.... dia dah jadi `houlier than thou' ," katanya selepas merasmikan Seminar Perancangan Pengurusan Sisa Pepejal kerjasama kerajaan negeri dengan Kesatuan Eropah (EU) di sini, semalam. Zambry juga secara sinis berkata: "Nanti, dia marah pula saya (komen mengenai Anwar). Nanti dia saman saya pula... saya harap dia tak samanlah saya."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan