Jumaat, Mei 08, 2009

Catatan Pagi::Sidang DUN Kecoh!!

IPOH: Mesyuarat pertama penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, semalam kecoh lebih lima jam dan terpaksa ditangguhkan dua kali sebelum majlis perasmian dapat disempurnakan oleh Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah.

Kekecohan bermula sebaik saja Raja Nazrin selesai memeriksa kawalan kehormatan dan menuju ke Kamar Diraja, apabila bekas Speaker, V Sivakumar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang bergegas memasuki Dewan terlebih dulu serta menukar tempat duduk ke sebelah kanan Speaker, yang ditetapkan untuk pihak kerajaan. Mereka juga mengalihkan kertas tanda nama ke sebelah kanan serta mengoyak dan membuang tanda nama Adun Barisan Nasional (BN).


Adun pembangkang, yang diketuai Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin kemudian duduk di kerusi Menteri Besar dan Exco, manakala Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Exconya terpaksa duduk di tempat pembangkang. Keadaan bertambah kecoh apabila Sivakumar mengarahkan Zambry serta enam Ahli Exco negeri dan tiga Adun Bebas, keluar Dewan dengan alasan keanggotaan mereka masih digantung. Beliau turut berkeras tidak akan memulakan sidang selagi 10 Adun terbabit tidak meninggalkan Dewan tetapi tidak diendahkan Zambry dan Adun berkenaan.

Zambry kemudian berdiri dan membuat usul untuk memecat Sivakumar selaku Speaker, disokong oleh 27 Adun BN serta tiga ahli Bebas dengan cara mengangkat tangan tetapi ditolak oleh Sivakumar dengan alasan Zambry tidak boleh mengemukakan usul kerana telah digantung. Sepanjang kekecohan itu, Raja Nazrin yang dijadual merasmikan sidang pada jam 10 pagi, terpaksa menunggu dalam Kamar Diraja. Persidangan semalam adalah yang pertama sejak Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerajaan negeri Februari lalu dan Zambry dilantik sebagai Menteri Besar.


Kekecohan semakin tidak terkawal apabila ahli Dewan saling mencemuh antara satu sama lain. Zambry kemudian mengulangi membuat usul yang sama dengan disokong oleh Adun BN dan tiga ahli Bebas. Sivakumar bagaimanapun tidak berganjak dan mengarahkan Bentara Dewan membawa keluar 10 Adun itu, tetapi Zambry menegaskan Sivakumar telah dipecat. Kira-kira jam 10.48 pagi, Timbalan Speaker, Hee Yit Foong (Bebas-Jelapang) mengambilalih sidang daripada tempat duduk Adun, manakala Sivakumar terus duduk di kerusi Speaker. Zambry kemudian mengemukakan usul melantik bekas Adun Sungkai, Datuk R Ganesan sebagai Speaker yang baru dan disokong oleh semua Adun BN serta ahli Bebas.

Selepas usul pelantikan Speaker baru diluluskan, Hee menjemput Ganesan memasuki Dewan dan dipakaikan jubah Speaker oleh Dr Zambry. Ganesan kemudian mengangkat sumpah jawatan di bahagian tempat duduk ahli Dewan dan mengambilalih tugas daripada Hee. Ketika itu, Adun Pakatan Rakyat hanya memerhati sambil membuat bising tetapi Ganesan meneruskan sidang tanpa menghiraukan gangguan pembangkang. Beliau menerima empat usul pelantikan ahli jawatankuasa yang baru, iaitu Jawatankuasa Perintah Tetap, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC) serta usul tidak mengiktiraf 'Sidang DUN Bawah Pokok' pada 3 Mac lalu. Semua usul dibentang oleh Datuk Hamidah Osman (BN-Sungai Rapat) dan disokong oleh Datuk Shaarani Mohammad (BN-Kota Tampan) serta diluluskan tanpa bahas oleh Adun BN dan Bebas dengan cara mengangkat tangan. Ketika Ganesan mengumumkan usul pertama diluluskan, Adun Pakatan Rakyat dan Sivakumar menjerit mengatakan 'haram'. Keadaan tenang seketika apabila Ganesan mengumumkan penangguhan sidang selama sejam bermula 11.15 pagi. Selepas sesi bermula pada jam 12.20 tengah hari, Sivakumar yang tidak bergerak dari tempat duduk Speaker, mengarahkan Ganesan keluar dari Dewan hingga mencetuskan semula pertikaman lidah antara Adun BN dan Pakatan Rakyat. Beberapa Adun pembangkang turut mengelilingi Ganesan bagi mendesaknya keluar Dewan dan berlaku tolak-menolak sehingga memaksa Speaker baru itu mengumumkan sidang ditangguhkan selama sejam lagi bermula jam 1 petang. Semua Adun mematuhi arahan itu dan keluar makan tengah hari, tetapi Sivakumar masih terus tidak bergerak dari kerusi Speaker. Apabila persidangan disambung semula kira-kira jam 2 petang, kekecohan sekali lagi tercetus apabila beberapa Adun pembangkang cuba menarik keluar Ganesan secara kasar. Berikutan itu, polis terpaksa campur tangan pada jam 2.20 petang kerana keadaan menjadi tidak terkawal dan bertambah agresif dengan ada insiden tolak-menolak dan pergaduhan di kalangan Adun. Bentara juga dikasari sebanyak tiga kali oleh Adun pembangkang sehingga cedera di kaki ketika beliau cuba mengosongkan kerusi Speaker yang masih diduduki Sivakumar. Kekecohan itu berakhir pada jam 2.40 petang apabila Sivakumar diiring keluar oleh anggota polis sebelum Raja Nazrin yang menunggu lebih lima jam dalam Kamar Diraja, memasuki Dewan bagi merasmikan sidang itu. Baginda menyampaikan titah ucapan perasmian kira-kira setengah jam bermula 3.15 petang dan sebelum berangkat pulang, Raja Nazrin berkenan berbual mesra dan bersalaman dengan semua Adun. Persidangan Dewan ditangguhkan ke satu tarikh yang ditetapkan kemudian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan