Khamis, Mei 07, 2009

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu ditahan di sini, semalam, kerana didakwa menghasut pengikutnya berhimpun secara haram berhampiran Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, sebagai tanda sokongan kepada pakatan pembangkang sepanjang persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula pagi ini.

Mohamad Sabu ditahan di sebuah restoran di Jalan Pahang pada jam 3.15 petang oleh sepasukan anggota polis berpakaian preman. Penahanan dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 27 (5) (a) Akta Polis 1967 dan Seksyen 124 Kanun Kesiksaan (KK).

Mohamad Sabu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu adalah orang kedua ditahan berhubung bantahan Sidang DUN Perak, selepas aktivis Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), Wong Chin Huat ditahan di rumahnya di Seri Sentosa di sini, malam kelmarin, mengikut Akta Hasutan 1948.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata polis tidak akan teragak-agak menahan sesiapa saja mengikut Akta Hasutan jika mereka mengajak atau mendorong orang ramai menyertai perhimpunan haram membantah persidangan DUN Perak. “Kami akan memastikan tiada sesiapa pun membuat kacau dan cuba menggagalkan sesuatu yang diluluskan oleh undang-undang," katanya kepada pemberita selepas pelancaran program Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) Bahagian Komunikasi di Maktab Polis Diraja Malaysia Cheras di sini, semalam.

Musa berkata, keadaan keselamatan di Perak masih terkawal dan polis sudah mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu, termasuk menutup kebanyakan jalan masuk ke pintu utama Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).


Di IPOH, Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata Mat Sabu ditahan selepas polis menerima maklumat beliau cuba mendorong penyokongnya supaya mengadakan perhimpunan di bangunan itu. Mengikut SMS yang disebarkan, Mat Sabu sebagai Pengerusi Badan Mobalisasi Demokrasi Pas dan Pakatan Rakyat menjemput orang ramai hadir pada perhimpunan itu. Pesanannya berbunyi: “Semua dijemput hadir dengan pakaian HITAM tanda matinya demokrasi (1BLACK M'SIA). Bukan Islam juga dijemput hadir sebagai tanda sokongan. SEBARKAN.” Satu lagi SMS berbunyi: “MUNAJAT PERDANA mohon pihak berkuasa bubar DUN Perak dan Keamanan Negeri Perak akan diadakan jam 5 pagi, 7 Mei di Masjid Al Ittihadiyah, Manjoi, Ipoh.”


Sementara itu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur petang tadi membenarkan Wong ditahan reman selama tiga hari bagi membolehkannya disiasat mengikut Akta Hasutan. Pada sebelah pagi, Majistret Naziah Alias memerintahkan Wong direman sehari, tetapi tempoh reman ditambah sehingga 8 Mei apabila polis membawanya semula ke mahkamah sama pada jam 5 petang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan