Selasa, November 03, 2009

Dah DiTangkap, Tetapi Tiada Pertuduhan?? Salah Siapa??

DR ASRI menunjukkan jam apabila pendakwa raya lewat hadir di Mahkamah Syariah Gombak Timur, semalam


GOMBAK: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin yang ditahan ketika memberi ceramah agama di sebuah banglo di Hulu Klang, tengah malam kelmarin, dilepaskan dengan bon jaminan semalam kerana pihak pendakwaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) gagal mengemukakan pertuduhan mengajar agama tanpa tauliah. Namun, beliau terpaksa menunggu lebih tiga jam di Mahkamah Syariah Gombak Timur, dekat sini sebelum pegawai Jais memberikan bon jaminan selepas kedua-dua pihak bersetuju membatalkan bon jaminan terdahulu. Peguamnya, Zulkifli Che Yong, berkata bon jaminan yang dikeluarkan selepas penahanan itu malam kelmarin terbatal dan Mohd Asri akan dipanggil oleh Jais untuk diambil keterangan dan siasatan lanjut pada bila-bila masa.







"Melalui perbincangan bersama pegawai Jais kami mendapati tiada pendakwaan dibuat atau difailkan di mahkamah. "Bagaimanapun, kami amat kesal dengan ketidakupayaan serta kegagalan Jais mematuhi prosedur membuat pendakwaan sehingga menyusahkan anak guam kami," katanya selepas perbincangan dengan pegawai berkenaan. Perbincangan berlangsung hampir sejam antara pegawai Jais dengan Mohd Asri serta peguamnya, selepas lebih dua jam beliau menunggu tindakan susulan Jais yang mengarahkannya hadir di mahkamah pada jam 9 pagi.







Ratusan yang dipercayai penyokong Mohd Asri memenuhi pekarangan mahkamah seawal jam 8 pagi untuk memberi sokongan, tetapi tiada sebarang kekecohan berlaku. Antara yang hadir ialah Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali; Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Azman Shapawi Ab Rani; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Klang, Saari Sungib; Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan pengasas Sisters In Islam (SIS), Zainah Anwar Mohd Asri ditahan pegawai Jais pada jam 12.10 malam kelmarin di sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang ketika memberikan ceramah kepada lebih 100 hadirin. Sementara itu, Mohd Asri menafikan beliau menyebarkan fahaman Wahabi dan mendakwa penahanannya adalah cubaan sabotaj untuk mencemarkan imejnya.







"Mereka tangkap saya dulu dan dibawa ke balai polis baru hendak tuduh tetapi mahkamah belum ada apa-apa pertuduhan lagi. Saya pun tak tahu sebab apa nak datang sini (mahkamah). Hanya pihak Jais yang bagi arahan, tetapi saya nak tahu 'tangan ghaib' di sebaliknya. "Mengapa saya didakwa tiada tauliah untuk mengajar sedangkan saya bukan asing di negara ini dan pandangan saya boleh dibaca dalam akhbar perdana selain mengajar di Universiti Sains Malaysia (USM)," katanya. Beliau juga mencabar pihak tertentu yang mendakwa beliau menyebarkan fahaman Wahabi di negara ini tampil mengemukakan bukti kukuh. "Jika tidak tahu, jangan membuat tafsiran melulu. Saya akui sebelum ini, memang Jais ada mengeluarkan arahan melarang Mufti Perlis mengajar agama di Selangor sedangkan 13 mufti negeri lain dibenarkan. Tetapi, masalahnya saya bukan lagi Mufti Perlis... ia amat pelik," katanya. Mohd Asri, bagaimanapun berkata, tindakan Jais itu tidak melunturkan semangatnya untuk terus menegakkan syiar Islam di negara ini dan berharap penahanannya akan menjadi titik tolak untuk menghormati hak asasi dan kebebasan rakyat bersuara dan belajar agama. "Jangan guna terlalu banyak akta dan kuasa untuk menghalang masyarakat mendapat ilmu yang baik.






Jika mana-mana pandangan, pendapat atau ilmu saya tidak sama dengan pendapat serta kehendak sesetengah pihak, janganlah saya dengan sewenang-wenangnya dituduh menyesatkan," katanya yang kemudian menemui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir di sebuah hotel di ibu negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan