Selasa, November 24, 2009

Khalid Tak Standard Pun..!!

KERAJAAN Pakatan Rakyat Selangor yang diketuai Parti Keadilan Rakyat (PKR) kelihatan agak tertekan dengan keraguan terhadap keupayaan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menguruskan negeri yang kaya dengan pelbagai sumber hasil sehingga memaksa Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik diri sebagai Penasihat Ekonominya dengan gaji hanya sekadar RM1. Walaupun ramai sinis dengan tindakan menerima gaji sebanyak itu, tidak penting apa keuntungan sebenar Anwar dalam peranannya - kerana yang penting mengapa beliau terpaksa membantu Abdul Khalid, seorang bekas tokoh korporat tersohor negara.
Rakyat Selangor yang mengundi Pakatan Rakyat semata-mata kerana marahkan kepemimpinan Umno yang lemah pada era lalu, kini berasa semakin kecewa kerana kepemimpinan baru yang diberi mandat membawa perubahan dengan mendokong aspirasi rakyat akhirnya mencetus lebih banyak isu dan masalah. Daripada kemelut barisan kepimpinan yang berlainan ideologi hingga isu arak yang sepatut boleh dileraikan di meja rundingan, akhirnya menjadi onak paling tajam yang menghiris matlamat Pas untuk membentuk sebuah negara Islam, kepada isu penternakan babi yang kini didakwa akan diteruskan di kawasan berhampiran Mukim Batu, Kuala Langat. Antara isu yang mencetus persoalan dan harus dijawab kepimpinan Pakatan Rakyat hari ini ialah adakah isu penjualan arak di Selangor akan diharamkan; apakah cadangan penternakan babi secara mega di kawasan berhampiran kampung Melayu akan dikekang dan apakah masalah air bersih boleh diselesaikan.

Di samping itu, apa sebenarnya isu pinjaman yang dibuat Kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil alih hutang Talam Corp Bhd kepada anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang berjumlah RM391 juta. Isu ini dibangkitkan Datuk Salehuddin Hashim melalui edaran e-mel kepada ramai ahli PKR. Juga apa hubungan Khalid dengan tokoh korporat Lim Kim Hong, yang memang dikenalinya sejak zaman korporatnya, yang kini memajukan i-City di Shah Alam? Isu krisis kepemimpinan Khalid di Selangor semakin serius, apa lagi selepas kes mahkamah yang melepaskan beliau daripada belenggu hutang berjumlah RM66.67 juta kepada Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), bagi pinjaman untuk membeli opsyen tawaran saham Guthrie pada 2001.
Ramai pemerhati politik berpendapat Khalid gagal menunjukkan contoh yang baik sebagai seorang pemimpin, bukan saja sejarah lama sebagai tokoh korporat kini mengheretnya ke dalam dilema kewangan serius, bahkan corak kepimpinannya di satu-satunya negeri dimiliki PKR amat menyedihkan rakyat yang memilih mereka. Jika rakyat yang menegur Khalid mungkin mereka akan didakwa tidak mengetahui hujung pangkal mengenai isu yang sedang berlaku. Tapi apabila Salehuddin yang juga Setiausaha Agung PKR, membangkitkannya melalui e-mel bertanya mengenai isu pinjaman yang dibuat kerajaan negeri untuk mengambil alih Talam Corp bernilai RM391 juta - ia mesti didorong rasa tidak puas hati yang serius.

Amat janggal apabila Anwar yang kini bertindak sebagai Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor menulis: "E-mel Setiausaha Agung hanya untuk edaran dalaman saja dan ia pandangan peribadi bertujuan mendapat penjelasan daripada Menteri Besar berhubung isu berkenaan. Perlu ditegaskan di sini Setiausaha Agung PKR tidak menuduh wujudnya penyelewengan oleh Menteri Besar dan Kerajaan Negeri." Mengapa seorang bekas tokoh korporat yang sepatutnya lebih arif, perlu menerima nasihat daripada seorang lulusan bahasa yang memang pernah menjadi Menteri Kewangan, tapi hampir menyeret negara ini ke dalam krisis ekonomi terburuk jika formulanya yang taksub dengan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) diterima pakai. Tapi tak mengapalah Anwar ingin menunjuk pandai dalam bidang ekonomi di Selangor.
Apa yang perlu dilakukan ialah memberi penjelasan kepada rakyat mengenai apakah rancangannya terhadap pembangunan negeri yang terus terbengkalai dan kacau bilau sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pada April 2008. Pemerintahan Pakatan Rakyat sudah memasuki tahun kedua April depan tetapi rakyat Selangor masih belum melihat sebarang perubahan dilakukan. Jalan raya terutama di kawasan pedalaman semakin teruk, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) ramai yang tidak melaksanakan tanggungjawab seperti yang dicanang ketika pilihan raya umum lalu. Kerajaan tempatan kelam kabut tanpa hala tuju, dan masalah babi dan arak terus menjadi duri dalam hubungan antara Pas dan DAP.
Kerajaan Pakatan Rakyat yang didokong PKR tidak lagi boleh terus melaungkan retorik menjanjikan perubahan yang lebih baik daripada kerajaan negeri sebelum ini kerana rakyat sedang menuntut perubahan yang dijanji.
Pemuda Parit:
Kerajaan Selangor yang sedia ada ini hanya menunggu masa untuk di talkin kan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan