Selasa, November 24, 2009

Perak Aman Jaya Fokus Ekonomi...

LUMUT: Pelan Pembangunan Perak Aman Jaya adalah perancangan jangka panjang dalam usaha menjadikan Perak sebuah negeri yang mempunyai pendapatan tinggi dengan mengkhususkan kepada ekonomi berdaya maju. Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata pelaksanaan pelan itu tepat pada masanya seiring dengan matlamat kerajaan negeri yang ingin memberi tumpuan untuk membangunkan Perak dari segi ekonomi. Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk semua pihak memberi fokus yang lebih kepada sektor ekonomi negeri jika kita mahu Perak menjadi sebuah negeri yang membangun dan paling maju di Malaysia.
“Dalam merealisasikan matlamat ini, beberapa pakar dilantik untuk berbincang dan melaksanakan agenda itu dengan menggariskan beberapa strategi baru. "Kerajaan negeri menggariskan tujuh perkara asas untuk Perak berdasarkan pelan induk disediakan Institut Darul Ridzuan (IDR) dan Institut Pembangunan Malaysia (MDI)," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis Penutupan Bengkel Halatuju Strategik Negeri Perak bertajuk ‘Pelan Pembangunan Perak Aman Jaya' di sini, kelmarin. Turut hadir, Penasihat IDR, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dan Ketua Eksekutif IDR, Aminudin Hashim.

Zambry berkata, teras kepada strategi pembangunan tujuh perkara utama itu akan menjadi dasar dalam usaha membangunkan Perak sebagai negeri maju. "Dengan adanya pendekatan berasaskan keberhasilan (OBA), kita mahu sesuatu yang dilakukan adalah berdasarkan hasil yang akan diperoleh," katanya. Tujuh teras tumpuan iaitu agihan dan pembangunan seimbang; masyarakat berkemahiran, berilmu dan berintegriti; negeri dan kerajaan pemangkin; jalinan perpaduan masyarakat; angkatan generasi muda yang aktif dan partisipatif; yayasan dan gagasan sektor swasta yang mapan dan amalan mesra alam dan kelestarian sumber. Beliau berkata, pendekatan yang dirancang itu tidak hanya menumpukan kepada strategi dan idea semata-mata tetapi turut akan menekankan bagaimana cara untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.

Dalam perkembangan lain, Zambry berkata, jumlah penerima bantuan melalui sistem E-Kasih dijangka meningkatkan kerana beliau sudah mengarahkan semua pihak supaya mengumpul maklumat berkaitan dengan kemiskinan di setiap kawasan. Malah, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), ketua bahagian, penghulu dan ketua kampung sudah diarahkan untuk mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan tanpa mengira kaum. “Saya tidak mahu ada yang layak ketinggalan dan tidak disenaraikan dalam sistem E-Kasih. Jika tidak disenaraikan, bantuan tidak dapat disalurkan dan saya tidak mahu hal ini menjadi halangan untuk kita membantu mereka yang kurang berkemampuan," katanya.
Pemuda Parit.
Teruskan Dr. Zambry dengan Agenda pembangunan untuk rakyat. Jangan Lakukan kesilapan Tajol Rosli dulu. Bangunkan negeri, wujudkan peluang pekerjaan dan meninggikan taraf hidup rakyat. Jangan kayakan kroni ja..tgk sama org² kampung ni..Pastikan ada impak..ni kalau sama je..baik la rakyat pilih PR..so cetuskan satu pembaharuan dan idea yg bernas untuk rakyat sekalian. Tunjukkan kelainan sebagai seorang pemimpin yang matang dan berjiwa besar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan