Rabu, September 09, 2009

Pemilik Kuil Bersandiwara Bersama Pakatan, Penganut Hindu Dapat Apa?

Kontroversi penempatan semula Kuil Hindu dari Seksyen 19 ke Seksyen 23 yang mewarnai media sepanjang sebulan yang lalu sungguh menyedihkan dan merupakan satu lagi “setback” kepada hubungan antara kaum dan perpaduan negara.

Kita perlu memahami perasaan penduduk Seksyen 23 yang ketika membeli rumah mereka dengan harga beratus ribu ringgit. Mereka telah melihat pelan asal kawasan tersebut dan tidak terdapat sebarang tanah untuk pembangunan rumah ibadat agama Hindu. Jika ia terdapat di dalam pelan mungkin mereka tidak jadi membeli dan mungkin juga ramai penganut agama hindu yang membelinya. Malah mungkin juga mereka rumah yang lebih jauh dari tapak tersebut.

Bagi penganut agama Hindu mereka melihat pemberian tapak kuil di Seksyen 23 ini merupakan sesuatu yang sewajarnya. Mereka memerlukan tapak baru untuk memindahkan kuil di Seksyen 19 yang terlalu hampir dengan rumah penduduk dan sudah menjadi isu panas di sana.
Yang menimbulkan tanda tanya mengapa kerajaan negeri pentadbiran Pakatan tidak meneruskan pembinaan kuil di tapak Seksyen 22 dan 18 seperti yang dicadangkan oleh kerajaan negeri sebelum ini?

Alasan terletak di luar kawasan penempatan penduduk adalah tidak berapa relevan. Ini kerana kita telah menyaksikan puluhan kuil hindu berada di luar kawasan penempatan penduduk seperti di Midvalley, Bangsar, Puchong dan beberapa tempat lagi.
Apatah lagi Shah Alam merupakan bandar yang sangat mudah untuk bergerak sama ada menggunakan pengangkutan awam mahu pun kenderaan sendiri.

Sepanjang pengetahuan saya juga kebanyakan kuil Hindu mempunyai pemilik individu bukannya digerakkan oleh jawatankuasa penganut agama Hindu setempat seperti mana masjid. Ini bermakna di mana ia berada konsep penjagaan, kebersihan dan pengurusan ditadbir oleh pemilik bukannya penduduk setempat.

Beberapa rakan beragama hindu juga menyatakan tiada prinsip anak kariah seperti mana dalam pentadbiran masjid mahu pun jemaah. Justeru ramai orang seperti saya yang kononnya daif dan naif ini tidak faham mengapa alasan di luar penempatan penduduk digunakan oleh kerajaan Pakatan di Selangor untuk menolak tapak di Seksyen 18 dan 22. Saya juga telah mengunjungi tapak Seksyen 18 di Shah Alam yang disediakan oleh kerajaan sebelum ini. Ia bukan sahaja berada di tepi jalan utama malah telah dilengkapi jalan tar dan lampu jalan.

Justeru sebagai rakyat biasa saya tertanya-tanya apakah motif kerajaan Pakatan memberi tempat baru di Seksyen 23 kepada pemilik kuil di Seksyen 19 ini?

Alasan kononnya Seksyen 18 telah ada kuil juga mengelirukan. Ini kerana di Puchong sendiri terdapat tempat yang ada dua atau tiga kuil dalam satu kawasan, malah lebih dekat berbanding yang dicadangkan di Seksyen 18.

Lebih anehnya alasan-alasan ini diberikan oleh pemimpin Melayu di dalam Pakatan. Kita belum mendengar pun pandangan penganut agama Hindu yang jujur di luar Seksyen 23 yang akan menggunakan kuil tersebut juga. Apakah menjadi satu masalah besar kepada mereka untuk ke seksyen 18 berbanding seksyen 23?

Kedudukan Seksyen 23 dan Seksyen 18 ini boleh dikatakan berjiran atau sebelah menyebelah sahaja. Malahan mengikut anggaran saya hanya sekitar 3-5 KM jarak antara tapak kuil seksyen 23 dengan tapak di Seksyen 18 yang dicadangkan oleh kerajaan pentadbiran Barisan Nasional dahulu.

Jika dilihat senario yang dibentangkan di atas ini nyata sekali niat kerajaan Pakatan sebenar mencadangkan tapak di Seksyen 23 ialah untuk menimbulkan kemarahan antara kaum bagi meraih kekuatan politik mereka sahaja.

Pada hemat saya kerajaan Pakatan memang telah mempunyai “niat jahat” semasa mengemukakan tapak Seksyen 23 kepada pemilik kuil Seksyen 19.

Wakil Rakyat di dalam Parlimen Shah Alam memang mengetahui bahawa sebahagian besar penduduk Melayu Seksyen 23 tidak menyokong mereka dan merupakan antara orang Melayu yang vokal. Justeru dengan mencadangkan kuil ini di Seksyen 23 ia umpama sengaja menjolok sarang tebuan sahaja. Malahan tidak mustahil mereka turut berkomplot dengan pemilik kuil Seksyen 19 untuk mewujudkan situasi ini.

Mereka mahu orang Melayu di Seksyen 23 bangun menentang mereka agar pakatan nampak menjadi hero kepada penganut Hindu yang merupakan hampir 25% pengundi di Shah Alam. Dengan andaian mereka boleh mendapat sekitar 35% undi lagi dari Melayu yang tegar menyokong mereka dan kaum Cina, maka mereka akan kekal menguasai Shah Alam.
Seperti mana mereka memutar belitkan isu kuil di Kampung Jawa dan Kampung Buah Pala dalam pilihan raya lalu, hari ini senario di Seksyen 23 pula digunakan.

Penganut agama Hindu di seluruh negara perlu bertanya kepada diri mereka sendiri, apakah kerajaan Barisan Nasional pernah menghalang mereka membina kuil sekiranya mengikut peraturan dan undang-undang?

Di Seluruh negara penganut agama Hindu bebas mengamalkan ajaran mereka.
Malahan Di Selangor selain Deepavali, Thaipusam juga dijadikan hari cuti umum. Infrastruktur dan kemudahan yang baik disediakan oleh kerajaan untuk kuil di Batu Caves.

Kerajaan negeri pimpinan Dr. Mohamad Khir Toyo dahulu bukan sahaja memberi bantuan kewangan kepada rumah ibadat bukan Islam termasuk kuil, malah hanya mengenakan bayaran nominal (RM 1 setahun) kepada sebahagian tapak kuil atas tanah kerajaan.

Memang benar ada kuil diruntuhkan. Demikian juga surau atau masjid dan mana-mana rumah ibadat yang dibina secara tidak sah oleh pihak yang mahu mencari keuntungan material dan politik semata-mata.

Penganut agama Hindu juga perlu bertanya apakah kerajaan Barisan Nasional benar-benar menindas penganut agama Hindu atau isu kuil ini dimainkan oleh pemilik-pemilik kuil yang mempunyai kepentingan material dan politik?

Saya berharap penganut agama Hindu tidak membiarkan kumpulan tertentu memainkan sentimen agama untuk menarik sokongan politik akhirnya hanya merugikan kaum India sendiri. Kita lihat apakah yang dicapai oleh orang India di Selangor sejak setahun lalu?

Yang mendapat keuntungan hanyalah pemimpin kaum India tertentu tetapi majoriti kaum India tiada sebarang perubahan besar seperti dijanjikan oleh Pakatan dalam pilihan raya lalu.

Ada pemimpin kaum India yang membuat pelbagai kenyataan akhbar melihatkan ia pejuang kaum India tetapi apabila ada kaum india meminta bantuan beliau menolak kepada Barisan Nasional tempatnya atas pelbagai alasan kewangan.

Apakah penganut agama Hindu sanggup membiarkan mereka dipergunakan oleh pemilik kuil dan pemimpin politik tertentu ini? Jelas kelihatan segelintir pemilik Kuil menggunakan isu ini bagi membolehkan mereka mendekati hirarki kuasa dan menjadi broker politik baru. Yang rugi nanti ialah penganut agama Hindu di Malaysia sendiri.

Orang Islam sudah melalui fasa ini apabila ulama-ulama dalam parti tertentu “menjual agama” sehingga memecah belahkan kami. Suatu ketika sebahagian kami dianggap terkeluar Islam. Perkahwinan tiak sah, solat tidak sah, sembelihan menjadi haram. Malaha ada orang Islam yang dihasut menjadi taksub sehinggakan menghalalkan darah saudara segama yang menyokong UMNO.

Semua ini kerana ada orang yang belajar agama dan mengaku ulama mahu mendapatkan kuasa dengan memecah belahkan orang Islam. Sehingga 2006 yang lalu kumpulan inilah juga yang menekan UMNO kononnya membenarkan kuil dibina secara banyak. Malah kumpulan ini juga mengadakan bantahan dan ceramah membenci UMNO apabila kerajaan negeri Selangor membenarkan pembinaan gereja di Shah Alam.

Hari ini kumpulan yang sama bercakap soal toleransi kaum dan agama. Apakah mereka benar-benar ikhlas atau sekadar mahu meraih sokongan. Misalnya beranikah mereka meluluskan kuil tersebut berdekatan tempat pemimpin “grassroot” parti mereka? Sudah tentu tidak.
Kepada penganut agama Hindu fikirlah dengan waras. Apakah ini perjuangan saudara-saudari atau sekadar agenda pemilik kuil yang berkomplot dengan pemimpin politik tertentu kerana dijanjikan sesuatu.
Dipetik dari mykmu.net

Tiada ulasan:

Catat Ulasan